Antara rokok seludup yang dirampas dalam beberapa beberapa lokasi panas sekitar Tumpat, Kota Bharu dan Pasir Mas termasuk pangkalan haram, jeti serta premis perniagaan. Ihsan Foto : PGA

KUALA LUMPUR – Kegiatan penyeludupan dan penjualan rokok putih serta kretek di Kelantan berjaya dipatahkan menerusi siri serbuan selama tiga hari bermula Ahad lalu.

Ia melibatkan rampasan hampir dua juta batang rokok dengan anggaran nilai mencecah RM3 juta, kata Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid.

Operasi tersebut melibatkan serbuan di beberapa lokasi panas sekitar Tumpat, Kota Bharu dan Pasir Mas termasuk pangkalan haram, jeti serta premis perniagaan.

“Rampasan pertama dilakukan oleh Batalion 8 PGA di tiga lokasi di Tumpat iaitu jeti Kampung Kuala Tanjong, Kampung Morak dan Pantai Geting bermula 6 Julai hingga semalam menerusi Op Taring Alpha 1.

“Sebanyak 1,137,400 batang rokok putih berjaya dirampas di lokasi berkenaan. Seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun turut ditahan di Kampung Morak kerana dipercayai mengambil upah menghantar rokok seludup ke lokasi ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nik Ros Azhan, tiada tangkapan dilakukan di dua lagi lokasi rampasan dan kesemua barangan yang disita dianggarkan bernilai RM2.12 juta.

Kes diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(d) dan 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, rampasan kedua dilakukan oleh PGA9 di dua lokasi berasingan iaitu pangkalan haram Pulau Tengkorak, Tumpat dan sebuah premis menjual rokok seludup di Kampung Mulong, Kota Bharu.

“Sebanyak 694,000 batang rokok putih dan 71,040 batang rokok keretek ditemui dalam serbuan pada 6 dan 7 Julai lalu. Premis itu dipercayai dimiliki oleh dua lelaki warga Pakistan yang menjual rokok seludup di pasaran tempatan,” katanya.

Nilai rampasan di kedua-dua lokasi itu dianggarkan berjumlah RM850,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam serbuan terakhir oleh PGA7 di sebuah premis di Bunut Susu, Pasir Mas, sebanyak 11,600 batang rokok putih dan 1,720 batang rokok keretek berjaya dirampas selepas dipercayai disembunyikan di bawah tangga premis tersebut.

“Premis itu dipercayai milik seorang lelaki tempatan yang menjual rokok seludup kepada pelanggan sekitar. Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM25,000 dan kes diserahkan kepada IPD Pasir Mas untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast