PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini menyambung pendengaran rayuan Peguam Negara untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Datuk Seri Najib Razak memulakan semakan kehakiman mencabar titah adendum.
Prosiding dijadual didengar di hadapan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.
Pada 2 Julai lalu, Peguam Negara Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar selesai berhujah dengan mengemukakan tujuh persoalan undang-undang berkepentingan awam.
Dalam hujahannya, beliau antara lain menyatakan, bekas Perdana Menteri dan anaknya Datuk Mohamad Nizar gagal mengemukakan bukti munasabah berkaitan kewujudan titah adendum, walhal berpeluang berbuat demikian di peringkat permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.

Beliau berhujah, Mohd. Nizar yang merupakan Exco Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, berpeluang mendapatkan titah itu kerana beliau kerap menghadiri mesyuarat dan pertemuan dengan Sultan Pahang.
Hujah Mohd. Dusuki, bagaimanapun, titah tersebut hanya diperoleh selepas Mahkamah Tinggi memutuskan menolak kebenaran semakan kehakiman bekas Perdana Menteri.
Menurut Peguam Negara, Najib sudah memperolehi maklumat kredibel seawal 12 Februari 2024 bahawa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16 mengeluarkan titah tambahan bertarikh 29 Januari 2024 yang menyatakan beliau boleh menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Bagaimanapun, peguam Tan Sri Muhammad Shafee berhujah, Peguam Negara terdahulu mempunyai segala peluang untuk mengesahkan titah adendum yang dikeluarkan terhadap Najib kerana dokumen itu diserahkan terus kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Menurut beliau, titah berkenaan dialamatkan sendiri kepada Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh (kini Hakim Mahkamah Persekutuan), membuktikan agensi itu mempunyai pengetahuan mengenai kewujudannya.
Hujah beliau, dokumen berkenaan turut dilihat oleh pihak-pihak tertentu yang menguatkan lagi bukti bahawa titah berkenaan yang dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong ke-16, wujud.
Peguam Negara merayu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 28 April lalu yang mengembalikan semakan kehakiman ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.
Panel tersebut turut membenarkan Peguam Negara merayu keputusan berhubung notis usul Najib bagi mengemukakan keterangan baharu atau tambahan bertarikh 3 Disember tahun lalu.
Keterangan baharu itu membabitkan afidavit anak Najib yang memasukkan sesalinan titah adendum yang diterimanya dari Pejabat Sultan Pahang, namun pada asalnya dilarang daripada menggunakan surat itu tanpa perkenan Sultan.
Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan YDPA ke-16 yang membolehkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – MalaysiaGazette
















