KUALA LUMPUR – Selebriti, Amir Raja Lawak mendakwa masih belum menerima baki bayaran berjumlah RM18,000 seperti yang dijanjikan oleh sebuah stesen televisyen selepas hampir tiga tahun menunggu.
Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi, 35, berharap pihak berkenaan dapat melunaskan bayaran seperti yang diminta sebelum ini kerana dia kini terdesak memerlukan wang.
“Kalau tidak perlukan duit untuk beli apa-apa, saya tak minta sebenarnya. Saya beri sahaja masa sebagaimana beberapa tahun dah selesai kerja tapi bayaran belum selesai semua lagi.
“Untuk kali ini memang saya nak guna duit itu. Mereka pun tahu alasan yang sangat penting. Saya sudah beritahu mereka siap bukti bergambar untuk meyakinkan bahawa saya tidak menipu,” katanya yang berkongsi perkara tersebut di Instagram miliknya.
Amir bagaimanapun enggan mencerita mengapa dia memerlukan wang kerana baginya ia terlalu peribadi dan tidak perlu diceritakan kepada umum.
Dia juga ada berjumpa dengan wakil pihak berkenaan bagi membincangkan tentang proses bayaran baki tertunggak.
“Dia pada awalnya bersetuju dengan terma yang ditetapkan namun kemudian meminta ihsan pihak terbabit untuk membayar segera atas sebab-sebab tertentu.
“Selepas perjumpaan itu, ada sesuatu yang telah berlaku dan saya telah maklumkan kepada mereka secara lembut, berhemah serta terperinci. Saya perlukan duit itu segera dalam kadar amaun sedikit besar,” katanya. – MalaysiaGazette
















