Lokasi kemalangan mengakibatkan seorang anggota tentera maut selepas motosikal ditunggang merempuh sebuah kereta dilaluannya yang membelok ke kanan di Jalan Tangga Batu, Melaka, malam tadi.

MELAKA – Seorang anggota tentera maut selepas motosikal ditunggang merempuh sebuah kereta yang sedang membelok di Jalan Tangga Batu, berhampiran sebuah klinik swasta di sini malam tadi.

Dalam keadian kira-kira 8 malam itu, mangsa Muhammad Haqimy Mohd Amin, 26, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan akibat kecederaan parah di muka dan kepala.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Sungai Udang menuju Tangga Batu.

“Sebaik tiba di lokasi, sebuah kereta jenis Proton Gen 2 dipandu lelaki berusia 31 tahun dari arah bertentangan membelok ke kanan menyebabkan anggota tentera itu tidak sempat mengelak dan merempuhnya.

“Akibatnya, mangsa kecederaan parah di muka dan kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas perubatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast