Mohd Amran.

BALIK PULAU Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) memberi perhatian serius terhadap isu kegagalan bekas suami atau bapa membayar nafkah anak selepas perceraian.

Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie, Datuk Mohd Amran Mat Zain berkata, pelbagai pindaan undang-undang telah dilaksanakan sejak dua hingga tiga tahun lalu bagi mengukuhkan penguatkuasaan terhadap golongan yang culas melaksanakan tanggungjawab tersebut.

“Kita telah kuatkuasakan tindakan sekatan pendapatan dan pembekuan aset melalui pindaan terhadap Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 serta Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002.

“Langkah itu turut membabitkan pelaksanaan prosedur hiwalah satu kaedah pemindahan bayaran melalui institusi kewangan bagi menyekat dan menyalurkan semula pendapatan pihak yang gagal mematuhi perintah Mahkamah Syariah.

“Jika sebelum ini, ada pihak boleh ‘lepas tangan’, sekarang kita boleh kesan, bekukan, dan salurkan semula aset tersebut. Ini memberi mesej jelas kepada semua bahawa perintah Mahkamah Syariah mesti dipatuhi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Literasi Syariah Madani Peringkat Pulau Pinang 2025 di sini, hari ini.

Tambah beliau, JKSM turut menggerakkan pasukan khas seperti Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) untuk mengesan pesalah nafkah dan memastikan pelaksanaan perintah berjalan lancar.

“Setelah perintah dikeluarkan, pelaksanaan boleh dimulakan. Tindakan ini bukan baharu, ia telah digerakkan sejak beberapa tahun lalu melibatkan beberapa proses perundangan tertinggi.

“Pentingnya kesedaran masyarakat, terutama dalam kalangan netizen, terhadap hak-hak yang boleh dituntut di Mahkamah Syariah.

“Peruntukan undang-undang ada, tetapi ramai tak sedar mereka boleh menuntut hak. Sebab itu kita adakan program literasi perundangan bagi dedahkan cara dan saluran yang betul,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast