GEORGE TOWN – Tindakan seorang lelaki Asia Timur membuat laporan polis palsu kononnya disamun dua lelaki di tepi jalan di Tanjung Bungah dekat sini, akhirnya memakan diri selepas pembohongannya terbongkar hasil siasatan pihak polis.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake, lelaki berusia 55 tahun itu telah membuat laporan polis pada 28 Jun lalu mendakwa dia disamun sebanyak RM19,000 ketika berjalan menuju ke sebuah bank di kawasan tersebut.
Bagaimanapun, katanya, hasil siasatan mendapati kejadian yang didakwa itu tidak berlaku dan wang tersebut telah diguna oleh lelaki itu sendiri.
“Hasil siasatan mendapati lelaki terbabit berada di Pulau Pinang bagi menjaga anaknya yang sedang melanjutkan pelajaran di sini.
“Manakala wang tersebut diamanahkan oleh rakan kepada isterinya untuk tujuan pembayaran deposit pembelian sebuah kereta,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Swee Sake, lelaki itu akan didakwa di mahkamah esok mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
“Sehubungan itu, kita nasihatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan sistem perundangan dengan membuat laporan palsu kerana ia bukan sahaja membazirkan masa dan sumber pihak berkuasa, malah menjejaskan integriti keselamatan awam,” katanya. – MalaysiaGazette
















