Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Pekerjaan Luar Negara dan Pelancongan Sri Lanka, Vijitha Herath hari ini.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan komitmen Malaysia dan Sri Lanka akan terus memperkukuh kerjasama dua hala merangkumi bidang perdagangan, pelancongan, pendidikan dan pembangunan tenaga kerja mahir.

Ia selaras dengan aspirasi kedua-dua negara untuk mencapai kemajuan bersama di rantau ini.

Anwar berkata demikian selepas pertemuannya dengan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Pekerjaan Luar Negara dan Pelancongan Sri Lanka, Vijitha Herath yang mengadakan kunjungan hormat sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) di Kuala Lumpur hari ini.

“Saya menyambut baik semangat keterbukaan dan komitmen Sri Lanka untuk terus memperkukuh hubungan dengan Malaysia.

“Perbincangan kami berlangsung dalam suasana mesra dan produktif, menyentuh potensi kerjasama yang boleh diteroka dalam pelbagai sektor strategik termasuk perdagangan, pelancongan, pendidikan tinggi serta tenaga kerja mahir,” katanya dalam Facebook hari ini.

Anwar berkata, hubungan erat antara kedua-dua negara bukan sahaja membawa manfaat langsung kepada rakyat Malaysia dan Sri Lanka, tetapi juga memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada kestabilan dan pembangunan serantau.

“Malaysia menghargai peranan berterusan yang dimainkan oleh Sri Lanka dalam menyokong masa depan rantau yang lebih aman, inklusif dan makmur. Ini adalah asas penting dalam membina jaringan kerjasama serantau yang mampan,” katanya.

Tambahnya, Malaysia komited untuk terus bekerjasama rapat dengan Sri Lanka bagi memajukan agenda pembangunan bersama yang membawa manfaat kepada kedua-dua negara serta memperkukuh komuniti ASEAN secara keseluruhan.

“Kerjasama seperti ini penting untuk merangka masa depan serantau yang lebih berdaya saing, terutamanya dalam mendepani cabaran ekonomi global dan perubahan geopolitik yang semakin kompleks,” ujar Anwar lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast