NIBONG TEBAL – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan meneliti bentuk bantuan bersesuaian yang boleh disalurkan kepada anak sulung pasangan yang terkorban bersama empat anak mereka di Sungai Korok, Jitra, Kedah baru-baru ini.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, pihaknya akan menyemak sama ada pasangan suami isteri terbabit merupakan pencarum atau mempunyai akaun dengan Perkeso bagi membolehkan langkah seterusnya diambil.
“Kita akan minta pihak Perkeso semak sekiranya mereka ada mencarum atau memiliki akaun yang aktif.
“Selepas itu kita akan lihat kaedah terbaik untuk menyalurkan bantuan kepada waris,” katanya hari ini.
Steven berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya dan Keusahawanan MyFutureJobs di Kompleks Penjara Seberang Perai di sini.
Media sebelum ini melaporkan enam sekeluarga yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu ditemui lemas selepas kereta jenis Proton Iswara yang dinaiki mereka tenggelam di dasar sungai pada Isnin.
Mangsa yang terkorban dalam tragedi berkenaan ialah pasangan suami isteri, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat anak mereka: Putra Rayyan Nur, 9; Hawa Adriana Nur, 8; Annayla Humaira Nur, 7; dan bayi perempuan, Tuah Hayda berusia enam bulan.
Tragedi itu menjadikan anak sulung pasangan terbabit, Putri Qisya Nur Izzat, 12, sebagai yatim piatu. – MalaysiaGazette















