KUANTAN – Insiden Tanah Perkuburan Balok di Kuantan yang jerlus sehingga mampu ’menelan’ penggali kubur dan waris yang datang ziarah cukup merisaukan terutama setiap kali tibanya musim tengkujuh.
Mana tidaknya, ketika musim hujan, kawasan perkuburan itu ditenggelami air paras buku lali.
Akibatnya, tanahnya mendap hingga berlaku tanah jerlus, sekali gus mendatangkan bahaya kepada waris yang berkunjung.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Balok, Mansor Mokhtar berkata, situasi di tanah wakaf itu telah dikesan sejak 10 tahun lalu namun ia semakin membimbangkan sejak tiga tahun kebelakangan ini.
”Setiap kali musim hujan, kawasan kubur ini menjadi berbahaya apabila tanahnya menjadi lembut kerana dipercayai di bawah kawasan tanah perkuburan itu merupakan laluan air sungai.
“Apabila musim hujan sebahagian kawasan tanah perkuburan akan berlubang, selain dinaiki air sehingga menenggelamkan kepok-kepok kubur,” kata beliau kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di sini hari ini.
Tambahnya, aktiviti menggali kubur ketika musim hujan juga sangat mencabar dan menyukarkan kerana keadaan struktur tanah namun diteruskan kerana ia merupakan fardhu kifayah.
Dedah beliau lagi, apabila struktur tanah terlalu lembut, proses penggalian kubur di kawasan itu juga tidak dapat dilakukan mengikut ukuran sebenar.
”Kita ada mintak pendapat ustaz dan sebagainya, yang kita tak boleh mengikut spesifikasi yang sebenar.
”Bila musim hujan kita tak boleh menggali sebab tanah berisiko rebah, bila kita gali rebah, gali rebah. Itu permasalahan bila musim hujan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Tanah Perkuburan Balok, Abdul Latiff Ali berkata, keadaan itu berbahaya kepada pelawat malah ada yang menjadi mangsa tanah jerlus sehingga paras paha.
Bagi keselamatan ramai, pihaknya mengambil inisiatif memasang tali merah sebagai kawasan larangan kepada pelawat.
”Bila musim hujan memang kawasan tu kita tanda dengan tali merah supaya pelawat tidak melalui kawasan yang berlubang atau jerlus, bimbang mereka terpelosok ke dalam tanah.
”Bimbang juga kejadian tiba-tiba jerluskan, tambah-tambah lagi kalau dia datang seorang, jadi kita letak tali supaya mereka nampak kawasan risiko,” katanya.
Sementara itu, sukarelawan Geng Gali Liang Balok, Kamaruddin Zaki pula berkata, keadaan tanah lembut itu turut menyebabkan kepok-kepok kubur senget, akibat tenggelam dilanda banjir.

Seorang lagi ahli sukarelewan di situ, Adi Akbar Mat Zuki pula berkongsikan pengalaman kaki rakannya ‘tenggelam’ akibat ‘ditarik’ tanah jerlus.
“Pengalaman saya sendiri tiada, tapi kawan saya pernah ‘tenggelam’ dalam tanah jerlus semasa gali liang lahad.
“Masa tu tanah lembut, mungkin dia tak tahu. Kami tolong angkat dan tarik,” katanya.
Abdul Latiff berkata, kubur ditanah wakaf perkuburan tersebut semakin padat dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah meluluskan tapak yang baharu.
Namun geran tanah tersebut belum dikeluarkan lagi.
Susulan itu, JPKK Balok berharap permohonan tersebut dipercepatkan kerana tanah kosong di tanah perkuburan itu hampir penuh dan semakin berisiko dengan tanah jerlus. – MalaysiaGazette
















