SELAYANG – Pempengaruh media sosial, CEO Batu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyimpan video dan gambar lucah dalam telefon bimbitnya pada dua bulan lalu.
Tertuduh dengan nama sebenarnya Muhamad Iqbal Muhamad Nor, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Chai Guan Hock.
“Tidak mengaku bersalah dan saya mohon dibicarakan,” katanya ketika prosiding.
Mengikut pertuduhan, Muhamad Iqbal didakwa menyimpan video dan gambar lucah di dalam simpanan galeri telefon bimbit jenis Nubia Neo 2 berwarna hitam dan ditemui oleh pegawai penyiasat di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak sekitar jam 11.39 pagi pada 22 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dibawah Seksyen 292 Kanun yang jika sabit kesalahan memperuntukan penjara sehingga tiga tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Birr Zamier Abu Bakar mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.
Peguam mewakili tertuduh Nabil Ashraff Ridzuan merayu diberikan jumlah jaminan minimum kerana sumber pendapatan anak guamnnya yang bekerja sebagaip pempengaruh telah terjejas.
“Dia telah hilang punca pendapatan kerana banyak kontrak ditamatkan susulan kes mahkamah selain mempunyai masalah saraf selepas terlibat kemalangan sebelum ini.
“Malah dia perlu menyara ibu bapanya serta empat adik beradik termasuk menjaga datuk dan nenek yang mempunyai masalah kesihatan selain bapanya hanya bekerja kilang” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh membayar jaminan itu serta sebutan semula kes ditetapkan pada 30 September depan.
Semalam, Ceo Batu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang atas pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal kepada seorang remaja perempuan berusia 13 tahun pada Mei lalu.
Tertuduh, Muhamad Iqbal, didakwa di hadapan Hakim Norshila Kamarudin mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette
















