KUALA LUMPUR – Masyarakat antrabangsa masih gagal mengambil iktibar tragedi kejam, Genosid Srebrenica di Eropah pada tahun 1995 selepas Holocaust tercetus akibat kegagalan global melindungi orang awam.
Tragedi tiga dekad lalu menunjukkan pasukan Serb Bonia menawan Bandar Srebrenica dan lebih 8,000 umat islam Bosnia dibunuh secara sistematik di ‘kawasan selamat’ Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Namun akhirnya, tragedi itu dibiarkan tanpa pembelaan.
Ketua Pegawai Eksekuif Islamic Relief Worldwide, Waseem Ahmad berkata, situasi yang berlaku di Gaza dan Sudan ketika ini juga jelas menunjukkan kegagalan dunia sekali lagi dalam melindungi orang awam.
“Genosid Srebrenica adalah titik hitam dalam hati nurani dunia dan penduduk dijanjikan perlindungan namun akhirnya ditinggalkan untuk dibunuh atau dirogol sementara dunia hanya memerhati.
“Ketika itu, kerajaan antarabangsa mempunyai pengetahuan dan kemampuan untuk bertindak tetapi tiada kemahuan politik. Mereka berhutang kepada mangsa yang terselamat daripada tragedi Srebrenica untuk memastikan genosid tidak pernah berulang lagi.
“Selepas 30 tahun, kerajaan masih gagal bertindak tegas untuk menyelamatkan nyawa dan tahun lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memerintahkan langkah-langka diambil untuk mencegah genosid di Gaza setelah mendapati risiko itu berkemungkinan berlaku.
“Namun, keputusan mahkamah terus diabaikan tanpa sebarang akibat malah rakyat Palestin di Gaza terus dibunuh secara sistematik, dibiarkan kebuluran, dipindahkan secara paksa, dan dinafikan akses kepada bantuan kemanusiaan. Setiap hari, kita menyaksikan undang-undang antarabangsa terus dilanggar tanpa sebarang hukuman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pihaknya menyeru semua negara perlu menunaikan tanggungjawab mereka di bawah Konvensyen Genosid 1948, iaitu mencegah sebarang tanda-tanda awal genosid tanpa menunggu keputusan mahkamah.
Selain itu katanya, Islamic Relief juga menggesa kerajaan dan institusi dunia agar lebih proaktif menangani ucapan kebencian serta penyebaran maklumat palsu yang boleh mencetuskan genosid dan jenayah perang.
“Perang Bosnia dan genosid di Srebrenica disemarakkan oleh ucapan kebencian, maklumat palsu dan propaganda tidak berperikemanusiaan yang menggambarkan mangsa sebagai ancaman.
“Hari ini, kita sekali lagi menyaksikan bahasa berbaur genosid yang sama dalam konflik di seluruh dunia dan kita perlu melihat tindakan yang lebih tegas untuk membanteras ucapan kebencian dan hasutan,” jelasnya.
Untuk rekod, perang Bosnia telah meragut lebih 100,000 nyawa, menghalau lebih 2 juta orang dari kediaman mereka, dan menyaksikan 50,000 wanita menjadi mangsa kekejaman seksual di kem tahanan. – MalaysiaGazette















