KUALA LUMPUR – Ekspo Perkahwinan Melayu terbesar di Malaysia iaitu Booking Kahwin Expo (BKE) akan kembali diadakan dengan lebih meriah dan eksklusif khas buat bakal pengantin.
Ekspo itu bakal berlangsung di Putrajaya International Convention Centre (PICC) bermula 25 Julai ini selama tiga hari dengan menawarkan peluang untuk golongan itu merancang hari perkahwinan impian mereka di bawah satu bumbung.
Penganjurnya yang juga Pengarah Urusan AP Event Empire Sdn. Bhd., Hafiz Hassan berkata, BKE bakal mengumpulkan lebih 200 vendor terkemuka dalam industri perkahwinan yang terdiri daripada jurugambar, dewan perkahwinan, busana pengantin, katering, doorgift dan agensi pelancongan.
“Dengan lebih banyak tawaran ekslusif dan pakej-pakej menarik, expo ini dapat menjanjikan pengalaman perancangan perkahwinan yang lengkap buat semua bakal pengantin selain menjimatkan masa di mana hanya dalam satu hari sahaja boleh membantu bakal pengantin menyelesaikan semua persiapan perkahwinan.
“Turut diadakan aktiviti lain bagi memeriahkan ekspo antaranya pertandingan busana pengantin, persembahan gamelan, tawaran pakej perkahwinan ekslusif, diskaun dan pakej istimewa, persembahan tarian daripada cilik antarabangsa, program bual bicara rumah tangga bersama Kak Kay dan cabutan bertuah dengan minimum deposit RM100,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hafiz menambah, pihaknya menganjurkan ekspo terbesar sebagai inisiatif mengambilkira keadaan ekonomi semasa dan isu scammer yang kian menular dalam masyarakat dalam urusan katering dan perkahwinan.
BKE kali ini diadakan dalam skala lebih besar bagi memberi manfaat kepada lebih 30,000 pasangan mempelai.
“Program BKE diadakan empat kali setahun namun di PICC Putrajaya adalah yang terbesar bagi menyediakan ruang yang lebih luas dan lokasi yang lebih selesa,” katanya.
Sementara itu, BKE akan membawa lebih 10 pereka fesyen busana pengantin terkenal antaranya Inderaloka, Rico Rinaldi, Kashfi Zulkufli, Adnaa, Shaiful Sazli dan Embun Wedding yang menawarkan rekaan busana pengantin terbaharu tahun 2026.
BKE yang telah bermula sejak 2005 lagi merupakan platform yang mengumpulkan pelbagai vendor dalam industri perkahwinan di bawah satu bumbung bagi memudahkan golongan itu bertemu bakal pengantin. – MalaysiaGazette

















