Subramanium Kandasamy dan Nigel Wong (kanan).

KUALA LUMPUR – Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menafikan semua insiden kemalangan membabitkan bas yang berlaku berkaitan dengan agensi pelancongan berlesen.

Presidennya, Nigel Wong berkata, dakwaan itu tidak adil dan mengelirukan kerana terdapat kemalangan bas yang berlaku turut melibatkan bas kilang, bas sekolah atau pengendali tidak berlesen.

“Tindakan sesetengah pihak menjatuhkan hukuman terhadap syarikat pelancongan tanpa siasatan terperinci hanya menambahkan beban kepada pemain industri sah yang sudah pun mematuhi pelbagai peraturan ketat.

“Ini kerana terdapat kemalangan melibatkan bas kilang, bas sekolah atau pengendali tidak berlesen tetapi tetap dilabel sebagai bas pelancongan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Turut hadir Naib Presiden Pengangkutan Darat, Subramanium Kandasamy.

Nigel menambah, MATTA turut kesal dengan tindakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengarahkan agensi pelancongan mengemukakan laporan kemalangan dalam tempoh 24 jam atau berdepan pembatalan lesen.

Jelas beliau, pihaknya mengakui kepentingan laporan itu tetapi tempoh itu tidak munasabah kerana banyak faktor boleh menyumbang kepada kemalangan.

“Antara faktor itu mungkin berpunca daripada pemandu, keadaan jalan atau pihak ketiga maka siasatan perlu dijalankan dahulu

“Pada masa sama, tindakan perlu diambil terhadap pengendali pelancongan haram yang terus beroperasi tanpa lesen kerana selagi mereka bebas beroperasi, industri ini akan terus terkesan,” katanya.

Sementara itu, Subramaniam pula berkata, pihaknya merayu kepada kerajaan supaya tidak terburu-buru melaksanakan peraturan baharu tanpa perbincangan bersama pihak berkepentingan terlebih dahulu.

Beliau berkata, pelaksanaan sebarang peraturan baharu boleh menjejaskan pendapatan syarikat dan kebajikan pemandu  sekiranya lesen mereka digantung serta-merta dan permit syarikat ditarik balik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast