KUALA LUMPUR – Parlimen Tambun akan menganjurkan Karnival Kesenian Islam dan Malam Mahabbah Madani sempena sambutan Maal Hijrah 1447H bertemakan ‘Hijrah Membina Ummah Madani’ di pekarangan Masjid Jamek Al-Amin, Kampung Lata, Ipoh, Perak pada Ahad ini, bermula pukul 5.30 pagi hingga 11 malam.
Program yang dianjurkan dengan kerjasama strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu sebagai usaha memperkasakan peranan agensi dalam menyemarakkan aktiviti Islamik dan kerohanian dalam komuniti, di samping memupuk semangat hijrah dalam diri serta masyarakat setempat.
Pusat Parlimen Tambun dalam kenyataan berkata, program itu juga merupakan platform terbaik untuk memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat melalui penghayatan makna hijrah dalam konteks pembangunan rohani serta transformasi diri berlandaskan ajaran Islam.
Katanya, program itu mendapat sokongan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut memberi galakan supaya ia dapat diteruskan termasuk sekolah-sekolah di dalam Parlimen tersebut melalui kelulusan peruntukan.
Jelasnya, pelbagai pengisian dan aktiviti menarik disediakan sepanjang program itu termasuk demonstrasi khat, penyalinan dan percetakan al-Quran dan persembahan nasyid daripada kumpulan popular seperti Unic, Raihan dan Mirwana.
“Selain itu, turut diadakan adalah pertandingan nasyid sekolah dalam kawasan Parlimen Tambun, Forum Hijrah bersama selebriti dan ilmuwan yang menampilkan panel seperti PU Riz dan isterinya, Neelofa bersama moderator Kamil Munim.
“Pengunjung juga berpeluang untuk bertemu mata dengan selebriti lain seperti Nabil Ahmad yang akan menyertai kempen ‘Solat Subuh Macam Jumaat’ bersama rakan selebriti lain Angah Raja Lawak, Qawiyaro, Shamsul Ghau-Ghau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, Malam Mahabbah Madani pula menyajikan persembahan qasidah, bacaan doa, penyerahan sumbangan dan selawat beramai-ramai.
Ujarnya, bagi aktiviti di lapangan atau sekitar masjid pua, pengunjung boleh menyertai program seperti street soccer, gusti lengan, larian amal, pertandingan memasak serta kenduri rakyat.
Malah, jelasnya, karnival itu turut memberi peluang kepada pengunjung bertemu Ustaz Don atau nama sebenarnya Don Daniyal Don Biyajid, figura dakwah yang dikenali ramai menerusi tazkirah yang menyentuh hati dan sarat dengan mesej kasih sayang, keinsafan serta penghayatan nilai-nilai Islam.
“Program lain yang turut dilakukan adalah konvoi motosikal belia, gotong royong membersih kubur, Jualan Rahmah, pameran agensi, jualan usahawan, pemeriksaan kesihatan, program penukaran minyak hitam dan gunting rambut percuma, cabutan bertuah serta pameran bas perkhidmatan,” katanya.
Tambahnya, program itu turut mengangkat aspirasi Malaysia Madani dengan memastikan seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira usia atau latar belakang untuk hadir dan berhimpun dalam satu acara yang mengukuhkan nilai perpaduan, kasih sayang serta keharmonian.
Ujarnya, ia selari dengan misi kerajaan untuk membina sebuah negara yang inklusif dan sejahtera untuk semua. – MalaysiaGazette
















