Logo Polis Diraja Malaysia

TANGKAK – Seorang remaja maut manakala seorang lagi parah selepas motosikal dinaiki mereka melanggar seekir babi yang melintas di Kilometer 6, Jalan Serom, Bukti Banjar di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, kemalangan tersebut berlaku pukul 3.39 pagi melibatkan motosikal Yamaha Ego Gear.

“Dalam kemalangan itu motosikal tersebut ditunggang seorang remaja lelaki berusia 19 tahun manakala pemboncengnya pula lelaki berusia 20 tahun.

“Siasatan mendapati kemalangan itu berlaku kerana tidak sempat mengelak khinzir melintas dan melanggarnya lalu terjatuh atas jalan raya.

“Akibat kemalangan ini penunggang dan pembonceng mengalami kecederaan parah di kepala,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, pembonceng meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar manakala penunggang masih mendapat rawatan di hospital yang sama.

Roslan berkata, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 jika sabit kesalahan penjara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000.

Jelasnya, ia termasuk hilang kelayakan memandu dalam tempoh lima tahun.

Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian untuk menghubungi Pegawai Penyiasat di talian 011-12445836 bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast