Reaksi Lee Zii Jia selepas tumpas kepada juara dunia dari Thailand, Kunlavut Viditsarn pada perlawanan separuh akhir perseorangan badminton lelaki Sukan Olimpik Paris 2024. AFP

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meminta semua pihak memberi ruang kepada pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia.

Menurutnya, beliau sendiri tidak mahu memaksa mana-mana atlet untuk membuat sebarang keputusan atau tindakan yang bertentangan dengan kehendak mereka.

Dalam masa sama, kata beliau, pihaknya sudah menghubungi Zi Jia untuk mendapatkan perkembangan terkini berhubung pemain berkenaan, namun belum mendapat sebarang maklum balas.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh

Selain itu, tambahnya, wakil daripada Majlis Sukan Negara (MSN) bersama Institut Sukan Negara (ISN) juga sudah berhubung dengan pasukan Zii Jia untuk menawarkan bantuan sekiranya diperlukan.

“Saya rasa kita tidak perlu paksa, beri beliau ruang untuk bernafas.

“Beliau juga merupakan atlet profesional, jadi saya rasa sekadar kita sudah turunkan bantuan, maka kita serahkan kepada Zii Jia,” katanya.

Beliau ditanya berkenaan situasi terkini Zii Jia yang mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat sukan badminton negara selepas memuat naik beberapa gambar lakaran misteri di laman media sosial miliknya.

Tindakan pemain berusia 27 tahun itu menarik perhatian ramai kerana dibuat hanya beberapa hari selepas beliau disahkan menarik diri daripada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun 2025 yang dijadual berlangsung di Tokyo dari 15 hingga 20 Julai ini.

Sementara itu, Hannah berkata, selain sokongan yang ditawarkan KBS khususya ISN dan MSN, Zii Jia juga mempunyai akses kepada bekas-bekas atlet negara terdahulu sekiranya memerlukan bantuan termasuk bekas pemain skuash nombor satu dunia, Datuk Nicol Ann David.

Selain itu, ujarnya, Zii Jia juga secara peribadi mengenai pemimpin-pemimpin dalam bidang sukan seperti bekas Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan bekas Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Hamidin Mohd Amin sekiranya memerlukan sokongan. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast