KUALA LUMPUR – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) memandang serius isu program motivasi dan pembangunan diri yang mencetuskan kekeliruan akidah terutama menyentuh institusi kekeluargaan dan kesejahteraan individu.
Ketua Pengarah IKIM, Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, perkara itu adalah ancaman serius terhadap kestabilan masyarakat dan masa depan generasi akan datang.
Ia wajar ditolak dan ditangani secara tegas oleh pihak berkuasa agama dan prinsip islam menekankan bahawa pentingnya menjauhi perkara yang membawa kerosakan atau keburukan.
“Islam merupakan agama yang syumul meliputi aspek kehidupan termasuk urusan peribadi, kekeluargaa, kemasyarakatan dan hubungan dengan Allah.
“Oleh demikian, setiap program motivasi atau usaha pembinaan diri mestilah berlandaskan ajaran islam yang sahih serta mengangkat nilai oral dan akhlak yang terpuji.
“Kita bimbang pendekatan yang menggunakan istilah seperti kasih sayang, penerimaan diri atau kebahagiaan tanpa berpaksikan syariah malah diselitkan unsur falsafah sesat serta budaya yang bercanggah dengan akidah dan akhlak islam.
“Selain tindakan mempromosikan kebebasan syahwat, menormalisasikan maksiat atau meggalakkan gaya hidup bertentangan dengan fitrah insan dan kekeluargaan bukan sahaja menyimpang.
“Malah ia turut mengancam asas perkahwinan serta peranan semula jadi lelaki dan wanita dalam institusi keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, pihaknya menyeru umat Islam di Malaysia agar sentiasa berwaspada terhadap pengaruh yang bertentangan dengan ajaran Islam.
“Marilah kita bersama memperkukuhkan akidah, memelihara akhlak dan membina keluarga yang harmoni, penuh kasih sayan dan rahmat, demi melahirkan generasi beriman serta bertamadun,” jelasnya.
Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama pihak berkuasa negeri Selangor akan menjalankan siasatan terperinci berhubung isu program motivasi rumah tangga (eHati) di media sosial.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya mengambil perhatian serius terhadap kebimbangan orang awam susulan penularan isu melibatkan pengajaran program motivasi itu.
Sementara itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil menegaskan pihak berkuasa agama dan tempatan perlu menyiasat serta mengambil tindakan terhadap program eHATI didakwa mengandungi unsur penyelewengan agama serta moral.
Menurut beliau, program seperti itu wajar digantikan dengan bimbingan emosi dan motivasi daripada pakar bertauliah, berlandaskan ajaran Islam yang sahih serta berpandukan al-Quran dan sunah. – MalaysiaGazette
















