KUALA KUBU BHARU – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menerima aduan secara rasmi berhubung isu program motivasi rumah tangga (eHATI) yang dikatakan bercanggah dengan agama Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, siasatan segera akan dimulakan dengan memanggil kedua-dua pasangan yang terlibat itu untuk hadir ke pejabat JAIS bagi diambil keterangan mereka.
“Saya tahu masyarakat bimbang dengan cara pembawaan (eHATI) yang menggusarkan dan sebab itu saya minta Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) keluarkan kenyataan semalam bahawa Jakim telah mula bekerjasama dengan JAIS.
“Saya juga dimaklumkan bahawa pihak JAIS telah menerima aduan secara rasmi dan mereka akan memulakan siasatan dan akan memanggil kedua-dua pasangan yang terlibat itu untuk hadir ke pejabat JAIS bahagian penguatkuasaan untuk keterangan mereka diambil dan maknanya dari sudut siasatan telah diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Istiadat Konvokesyen Darul Quran JAKIM kali ke-33 Tahun 2025 di Dewan Muktamar, Darul Quran Jakim di sini.
Semalam, media melaporkan satu program motivasi dan bimbingan rumah tangga dikatakan dikendalikan sepasang suami isteri didakwa menyebarkan ajaran sesat yang menyasarkan kaum hawa bekerjaya dan berdepan krisis rumah tangga.
Bekas ahli program itu menerusi akaun Facebooknya mendedahkan, ajaran itu dikatakan berselindung di sebalik program keluarga bahagia, seni cinta rumah tangga dan motivasi kepada wanita.
Dakwanya lagi, pasangan terbabit didakwa mengamalkan ajaran batin yang menyesatkan dan turut menjadikan buku hindu sebagai rujukan kepada peserta program menerusi platform Telegram.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dalam satu kenyataan memberi jaminan pihaknya bersama pihak berkuasa negeri Selangor akan menjalankan siasatan terperinci berhubung isu program motivasi rumah tangga itu.
Beliau berkata, Jakim mengambil perhatian serius terhadap kebimbangan orang awam susulan penularan isu melibatkan pengajaran program motivasi berkenaan.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im menasihati masyarakat yang berhasrat mencari pakar motivasi agar merujuk terlebih program yang dianjurkan itu dengan Pejabat Mufti negeri.
Beliau turut menyedari terdapat pasangan suami isteri yang berdepan masalah rumah tangga dan ingin mencari jalan ketenangan untuk menyelesaikan masalah mereka.
Namun katanya, dalam proses pencarian itu, mereka bertemu dengan kumpulan yang seolah-olah meletak harapan kepada mereka untuk membantu menangani masalah yang dihadapi.
“Tak apa hendak cari (motivator) tetapi saya nasihatkan mereka yang hendak cari penyelesaian menerusi pihak yang berkuasa, golongan agamawan dan golongan NGO di mana boleh rujuk Pejabat Mufti untuk tentukan kaedah yang digunakan kumpulan itu betul atau tidak.
“Saya mengharapkan sekiranya mereka menghadiri mana-mana kursus dan tiba-tiba terdetik tidak betul, ambil tindakan segera untuk buat aduan dan insya-Allah pihak saya beri komitmen Jakim akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negeri untuk ambil tindakan supaya elemen penyelewangan ini tidak berterusan dan timbul kegusaran kepada masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette
















