KUALA LUMPUR – Seorang pelajar sebuah kolej maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar bahagian belakang kereta Perodua Bezza di kilometer (KM) 289.9 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah (IPD) Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, dalam kejadian jam 9.15 malam, pemandu Perodua Bezza yang berusia 30-an memperlahankan kenderaan kerana terdapat kemalangan.
“Siasatan polis mendapati, pemandu Perodua Bezza dalam perjalanan dari Seremban menghala ke Kuala Lumpur memandu di lorong tengah memperlahankan kenderaan kerana terdapat kemalangan di hadapan.
“Tiba-tiba datang sebuah motosikal dari arah belakang telah melanggar bahagian belakang kereta tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Naazron, pelanggaran tersebut menyebabkan penunggang motosikal berusia 22 tahun itu mengalami kecederaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kes disiasat di bawah Sek. 41(1) APJ 1987,” katanya.
Beliau turut menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu untuk menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Nur Faezah di talian 012-3268496.
“Pihak polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya mengamalkan pemanduan yang berhemah, sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan berhati-hati semasa memandu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















