GEORGE TOWN – Polis menahan lelaki yang terlibat dalam kejadian khianat menggunakan sebatang besi ke atas sebuah kereta di Jalan Lebuh Pantai di sini, malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, suspek berusia 37 tahun itu diberkas kira-kira jam 10.15 malam di tepi jalan Persiaran Karpal Singh di sini.

“Kita turut merampas kereta jenis Perodua Myvi dan sebatang rotan yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
“Suspek direman selama sehari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.
“Dengan penahanan ini, polis berjaya menyelesaikan kes dalam tempoh yang singkat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
Media semalam melaporkan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun dilanggar kereta Perodua Myvi yang dinaiki suspek dalam kejadian jam 4 petang pada Jumaat lalu.
Suspek kemudian dilihat keluar daripada kenderaannya sebelum mengambil sebatang besi dan memukul pintu belakang kereta mangsa, menyebabkan kerosakan dianggarkan bernilai RM3,000.
Video berhubung kejadian tersebut turut tular di media sosial. – MalaysiaGazette















