Screenshot

GEORGE TOWN – Polis telah mengenal pasti identiti lelaki yang terlibat dalam kes khianat terhadap sebuah kereta menggunakan sebatang besi di Jalan Lebuh Pantai di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun berhubung kejadian jam 7.55 malam semalam.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang ketika mangsa sedang memandu di lokasi kejadian sebelum dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki suspek.

“Suspek kemudian keluar dari kenderaan dan mengambil sebatang besi lalu memukul bahagian pintu belakang kereta mangsa, menyebabkan kerosakan dianggarkan bernilai RM3,000.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat dan kita sedang giat mengesan suspek bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.

Terdahulu tular satu rakaman video berdurasi 14 saat memaparkan kereta dinaiki suspek dilihat melanggar sebuah kereta lain sebelum suspek keluar dari kenderaannya.

Dia kemudian mencapai satu objek dipercayai batang besi di tempat duduk belakang kereta sebelum memukul pada badan kereta mangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast