Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek
Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek

KUALA LUMPUR – Kumpulan peguam, Lawyers for Liberty (LFL) mempersoalkan sama ada kerajaan akan melakukan penahanan beramai-ramai terhadap mereka yang sudah melihat, berkongsi atau memiliki dokumen yang didakwa minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang bocor di laman sosial.

Dalam masa sama, Pengarah LFL, Zaid Malek turut mempersoalkan sama ada mereka yang membincangkan atau membangkitkan mengenai kandungan minit mesyuarat tersebut akan ditahan beramai-ramai di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA).

Menurut beliau, kenyataan pihak berkuasa yang mana penyebaran dokumen rasmi itu boleh dikenakan tindakan di bawah OSA menunjukkan jurang yang amat besar antara kebimbangan dan kemarahan orang awam terhadap kandungan minit mesyuarat JAC dengan tumpuan menyekat suara rakyat.

Sedangkan Pakatan Harapan (PH) sejak sekian lama telah berjanji akan memansuhkan OSA dan menggubal Akta Kebebasan Maklumat (FOI) bagi mengiktiraf bahawa rakyat mempunyai hak untuk mengakses maklumat di bawah bidang kuasa kerajaan.

“Namun rakyat kini diugut dengan OSA. Adakah janji ini (memansuhkan OSA) dan komitmen kerajaan terhadap ketelusan serta kebebasan maklumat telah dipinggirkan, seperti banyak lagi janji reformasi lain yang gagal ditepati?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, petikan minit mesyuarat JAC yang didakwa berlangsung pada Mei lalu tersebar di media sosial sejak kelmarin dipercayai bermula dari laman Reddit sebelum tersebar di Facebook dan aplikaksi X.

Susulan itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihak berkuasa perlu menyiasat kesahihan dokumen minit mesyuarat JAC tersebut dan sekiranya disahkan sahih dan diklasifikasikan sebagai rahsia, penyiaran atau pengedarannya boleh membawa implikasi undang-undang khususnya di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Sementara itu, Zaid yang juga peguam kecewa dengan tindakan Kerajaan Madani dalam menangani isu dakwaan campur tangan dan kebebasan dalam institusi kehakiman ketika ini.

Menurut beliau, kerajaan dalam isu dilihat membuat penafian secara rapuh serta menolak segala dakwaan secara terburu-buru, dan kini membuat ancaman terbuka kepada rakyat yang ingin mendapatkan maklumat berhubung isu terbabit.

“Apa yang kerajaan perlu lakukan adalah menangani isu berkaitan badan kehakiman, yang kini telah menjadi krisis nasional. Kebocoran minit mesyuarat JAC sebenarnya berlaku demi kepentingan awam bukan sebaliknya.

“Ia mendedahkan kepada rakyat fakta-fakta yang sangat penting untuk diketahui dan rakyat mempunyai hak untuk mengetahuinya,” katanya.

Dalam masa sama, Zaid menegaskan, tiada keperluan untuk kerajaan dan pihak berkuasa menggunakan OSA dalam menangani isu minit mesyuarat JAC yang tersebar tersebut.

Sebaliknya, tambah beliau, kerajaan perlu segera melaksanakan moratorium terhadap semua siasatan polis di bawah OSA sementara menunggu pemansuhan akta tersebut.

“Ini adalah keputusan dasar yang kerajaan boleh dan mesti ambil, dan ia sejajar dengan dakwaan kerajaan yang sering diulang bahawa mereka komited terhadap reformasi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast