Sivakumar berehat
Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong Yew Chuan

KUALA LUMPUR – Bukan sahaja MCA, tetapi masyarakat juga kecewa dengan kenyataan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yang mengatakan beliau “malas nak layan MCA”, kerana apa yang dibangkitkan parti it adalah isu rakyat.

Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong menyifatkan kenyataan Loke menunjukkan keangkuhan DAP dan sifat bodoh sombong mereka yang enggan menerima maklum balas konstruktif daripada rakyat.

“Kata Loke, rakyat akan tahu menilai, dan ia bukan tugas MCA untuk menilai mereka. Memang betul rakyat kini sudah pandai menilai dan mereka memang sedang menilai DAP serta telah meluahkan kekecewaan mereka kepada kami di MCA, dan juga menerusi media-media sosial. Ini satu hakikat, bukannya fitnah semata-mata demi manfaat politik.

“Bagi peranan MCA pula, ia adalah untuk menyemak dan mengimbang segala dasar kerajaan bagi memastikan ia benar-benar berpaksikan rakyat dan akan memanfaatkan semua lapisan masyarakat serta membawa kemajuan kepada negara secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chong berkata, kritikan membina yang MCA bangkitkan adalah suara dan hajat rakyat.

Menurutnya, segala isu yang dibangkitkan MCA telah disalurkan kepada parti ini menerusi pertemuan dengan badan-badan pengguna, pemain industri dan wakil-wakil perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Isu-isu yang MCA bangkitkan seperti peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kenaikan tarif elektrik, skandal mykiosk, penjualan saham Malaysia Airports dan Kumpulam Wang Simpanan Pekerja.

Selain itu, penghapusan subsidi telur ayam dan Ops Gasak gas memasak yang agresif terhadap PKS, serta keraguan terhadap ketidakadilan dalam kemasukan pelajar B40, M40 ke universiti awam dan Rakan KKM.

Isu-isu yang seolah-olah mengutamakan golongan maha kaya merupakan antara hasil perbincangan MCA bersama rakyat pelbagai kaum.

“Jadi, kalau DAP “malas layan” MCA, bermakna mereka malas melayan keluhan rakyat,” selar beliau sambil mempersoalkan adakah apa yang dibangkitkan MCA mengenai DAP salah.

“Adakah Loke berani menafikan janji-janji seperti pemansuhan tol, penutupan loji nadir bumi Lynas, dan pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan tidak pernah dibuat DAP?

“Adakah DAP berani berkata kehidupan rakyat hari ini lebih senang, kos sara hidup tidak membebankan dan harga barangan tidak naik setelah GST 6% digantikan dengan SST 8%?,” tanya beliau lagi.

Chong menambah, MCA membawa kritikan berdasarkan fakta, bukannya kritikan semberono tetapi mendakwa sikap Loke dan rakan-rakannya menunjukkan DAP masih bersikap pembangkang yang hanya pandai melempart fitnah tidak berasas dan memainkan polemik perkauman dalam setiap isu.

“Biarpun DAP malas layan kami, tetapi kami di MCA akan tetap memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat dengan menjadi suara dan jurucakap mereka kerana kami adalah ‘team’ atau pasukan rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast