JOHOR BAHRU – Hospital-hospital di daerah ini kini berdepan krisis kekurangan tenaga kerja kesihatan yang serius dan kritikal.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, realiti itu amat membimbangkan terutama kekurangan kakitangan yang melibatkan jawatan-jawatan penting.
Menurutnya, keadaan tersebut dilihat sendiri semasa lawatan bersama-sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon ke Hospital Sultan Ismail (HSI) semalam.
“Saya dan YB Ah Soon berkesempatan melakukan spotcheck ke HSI, hospital pakar terbesar kedua di negeri ini bagi meninjau sendiri realiti semasa perkhidmatan kesihatan.
“Dapat dilihat beban tugas luar biasa yang ditanggung petugas barisan hadapan kita,” katanya dalam hantaran terbaharu dalam Facebook miliknya hari ini.
Katanya, kekurangan tenaga kerja kesihatan di hospital-hospital utama di sini melibatkan pelbagai kategori seperti doktor pakar, pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat serta anggota sokongan lain.
Menurutnya, tekanan kerja yang semakin tinggi bukan sahaja menjejaskan moral petugas malah memberi kesan kepada kualiti rawatan yang diterima pesakit.
“Sebagai contoh di beberapa wad, seorang jururawat terpaksa menguruskan lebih 10 hingga 14 pesakit dalam satu syif berbanding nisbah ideal 1:6 atau maksimum 1:8.
“Keadaan ini bukan sahaja tidak adil buat petugas tetapi juga tidak selamat untuk pesakit jika dibiarkan berpanjangan,” ujarnya.
Kerajaan negeri, katanya, memandang serius perkara itu dan akan terus menyalurkan sokongan daripada segi fasiliti serta keperluan kesihatan yang mendesak.
Justeru kata Onn Hafiz, isu tersebut akan dibawa ke perhatian Kementerian Kesihatan (KKM) dan jabatan berkaitan.
“Saya sendiri akan merayu agar pengisian jawatan kesihatan di Johor dapat disegerakan tanpa kompromi. Semoga petugas kesihatan di Johor terus dikurniakan kekuatan, ketabahan dan perlindungan dalam menjalankan amanah,” katanya.
Beliau merakamkan penghargaan atas segala usaha dan kerja keras yang menjadi tulang belakang sistem kesihatan negeri ini.
Kerajaan negeri, katanya, akan terus komited dalam memperjuangkan sistem kesihatan yang cekap, saksama dan mampan demi kepentingan seluruh negeri dan Bangsa Johor.- MalaysiaGazette
















