Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin

KUALA LUMPUR – Pembangkang sepatutnya berasa bimbang dengan kebocoran dokumen yang didakwa minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) bukan bersorak dan menyebarkannya untuk populariti politik.

Ini kerana, kata Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, insiden kebocoran itu mencerminkan satu krisis kepercayaan terhadap pemegang taruh yang diberi amanah menguruskan dokumen sulit kerajaan.

Apatah lagi apabila dokumen itu dengan mudah ditularkan dan disensasikan, ia membuka ruang kepada manipulasi serta perlanggaran prinsip kenegaraan yang paling asas.

“UMNO Negeri Kedah memandang serius kebocoran dokumen rasmi kerajaan termasuk minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), yang bukan sahaja membahayakan integriti institusi kenegaraan, tetapi turut mengancam keselamatan negara secara keseluruhan.

“Malangnya, pembangkang sekali lagi mengambil kesempatan dengan menunggang isu ini untuk laba politik murahan.

“Mereka tidak sedikit pun menunjukkan keprihatinan terhadap keselamatan negara, malah lebih ghairah menggunakannya sebagai peluru retorik menyerang institusi dan tokoh tertentu.

“Tindakan mereka tidak bertanggungjawab dan hanya mengundang risiko kepada kestabilan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Shaiful Hazizy menggesa siasatan menyeluruh serta tanpa kompromi dilakukan segera dan pihak terlibat dalam membocor, menyimpan atau menyebarkan dokumen sulit tersebut mesti diheret ke muka pengadilan.

Ujarnya, budaya baharu yang cenderung untuk menular dan menghebahkan dokumen rasmi kerajaan melalui media sosial perlu ditangani sebelum menjadi norma berbahaya dalam masyarakat.

Tegas beliau, budaya itu jika dibiarkan akan menghakis keselamatan nasional dari dalam negara.

“UMNO Kedah komited untuk mempertahankan institusi, kedaulatan undang-undang, serta prinsip kerahsiaan dalam pentadbiran negara dan akan terus bersuara lantang menentang mana-mana pihak yang mempermainkan keselamatan negara demi kepentingan politik sempit,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast