Hajizin menunjukkan laporan polis berhubung kes kecurian kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan (ATV) di Pantai Sungai Karang, di sini baru-baru ini

KUANTAN – Pengusaha kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan (ATV) di Pantai Sungai Karang bercadang memohon kebenaran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) untuk membina pagar susulan kes kecurian kenderaan itu, baru-baru ini.

Pengusaha perkhidmatan sewaan ATV, Hajizin Muhamad, 59, berkata, cadangan itu antara usaha yang akan dibuat selepas memikirkan kekangan ruang yang sempit untuk menempatkan aset tersebut di kawasan rumahnya.

“Kecurian macam ini buat kami rasa susah hati. Hendak tidur malam pun tidak lena fikirkan keselamatan perniagaan.

“Sekarang ini, MBK melarang binaan bangunan atau tapak binaan kekal di sini.

“Bagaimanapun, saya bercadang untuk memohon kebenaran MBK untuk membina pagar bagi meningkatkan aspek keselamatan di tapak niaga berkenaan.,” katanya ketika ditemui di Pantai Sungai Karang hari ini.

Katanya, kejadian ini kali pertama berlaku sejak dia memulakan operasi pada 2021 semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada Jumaat lepas, Hajizin berputih mata kerana kehilangan enam buah ATV selepas dicuri dalam kejadian jam 2 pagi.

Dia menyedari kehilangan aset itu sekitar jam 8 pagi, selepas mendapati kanvas sudah terbuka dan satu ATV tiada di tempat asal sebelum membuat laporan polis pada jam 11 pagi di Balai Polis Beserah.

Insiden malang ini menyebabkan dia menanggung kerugian dan bimbang ia berulang lagi.

Manakala salah seorang pekerja di tapak sewaan ATV berkenaan, Zayd Zainuddin, 39, berkata, sebelum ini pernah terdapat kes kehilangan tayar ganti di kawasan tersebut.

“Sekarang walalupun kami ada pasang CCTV dan semua kenderaan dikunci rapi, tetap ada rasa risau bila kejadian macam ini berlaku.

”Di kawasan ini terdapat lima pengusaha ATV, kebanyakannya penduduk tempatan. Saya harap semoga kejadian seumpama ini tidak berulang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast