KUANTAN – Pahang dijangka sekali lagi mencatat kutipan hasil melebihi RM1 bilion tahun ini, sekali gus melakar pencapaian itu untuk lima tahun berturut-turut sejak 2022.
Menteri Besar Pahang berkata, keyakinan itu berdasarkan kutipan hasil semasa yang kini mencecah RM950 juta.
“Alhamdulillah, hasil negeri Pahang telah melepasi RM1 bilion selama empat tahun berturut-turut sejak 2022.
“Insya-Allah, saya berkeyakinan tahun ini kita sekali lagi mampu mencapai kutipan hasil melebihi RM1 bilion untuk tahun kelima berturut-turut berdasarkan kutipan hasil semasa iaitu RM950 juta,” katanya.

Menurut beliau, pencapaian tersebut memberi ruang kepada kerajaan negeri untuk meneruskan pembangunan infrastruktur, memperkukuh kemudahan awam dan memperluaskan manfaat pembangunan kepada rakyat.
Dalam masa sama, ekonomi Pahang turut menunjukkan perkembangan positif apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri meningkat kepada RM71 bilion pada 2025, berbanding RM68.8 bilion pada 2024.
Jumlah pelaburan yang direkodkan pada tahun sama pula mencapai RM18.04 bilion, manakala sehingga Ogos 2026, Pahang telah merekodkan RM11.46 bilion pelaburan komited berbanding sasaran RM16.2 bilion.
Bagaimanapun, Menteri Besar berkata, angka berkenaan tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai statistik pencapaian kerajaan negeri.
“Di sebalik angka itu ada kilang yang dibina, premis yang dibuka, pekerja yang diambil dan perniagaan yang berkembang.
“Itulah makna sebenar pertumbuhan ekonomi,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran YP Commercial Centre (YPCC) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Wan Rosdy berkata, Pahang tidak boleh berhenti pada pencapaian semasa, sebaliknya perlu terus bergerak bagi membuka lebih banyak ruang pertumbuhan ekonomi.
Dalam perkembangan sama, katanya Yayasan Pahang (YP) perlu memperluaskan peranannya daripada institusi yang sinonim dengan pendidikan kepada pemain yang turut membantu menggerakkan ekonomi negeri.
Katanya, sejak ditubuhkan pada 1983, YP banyak memainkan peranan dalam pendidikan menerusi pemberian biasiswa, pinjaman pendidikan dan pembangunan modal insan.
Namun, landskap semasa memerlukan YP melihat aset yang dimiliki sebagai peluang untuk menjana nilai ekonomi yang lebih besar.
“Kalau dahulu Yayasan Pahang banyak membina masa depan anak-anak Pahang melalui pendidikan, hari ini Yayasan Pahang juga perlu membantu membina masa depan ekonomi Pahang,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan itu sedang diterjemahkan menerusi usaha YP mengembangkan aset dan pelaburan strategik, termasuk pembangunan YP Commercial Centre (YPCC) di beberapa lokasi sekitar Kuantan.
Beliau berkata, usaha tersebut penting bagi memastikan aset negeri bukan sekadar diurus, tetapi dikembangkan secara profesional dan mampu memberi pulangan serta limpahan ekonomi kepada rakyat.
“Pembangunan ekonomi tidak boleh berhenti di sini. Kita mesti terus bergerak dan membuka lebih banyak ruang pertumbuhan,” katanya. – MalaysiaGazette
















