PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pertemuan tertutup bersama Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) sebagai satu sesi yang sangat positif dan membina.
“Sangat baik,” kata ringkas perdana menteri yang juga Pengerusi PH kepada media apabila ditanya mengenai hasil pertemuan tertutup itu ketika meninggalkan di Kompleks Seri Perdana di sini hari ini
Pertemuan lebih sejam itu dihadiri ahli-Ahli Parlimen PH termasuk menteri serta pimpinan utama parti komponen.
Antaranya Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Ketika ini, PH memiliki seramai 82 ahli Parlimen dalam Kerajaan Perpaduan.
Sementara itu, dua Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad tidak menghadiri pertemuan.
Memetik laporan Malaysiakini, Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi berkata, beliau sudah sedia maklum mengenai perkara yang akan dijelaskan oleh Anwar dalam mesyuarat sama sebelum ini.
Nik Nazmi pula menjelaskan, beliau tidak dapat hadir dalam mesyuarat berkenaan kerana perlu menyertai lawatan ke Singapura yang telah dirancang lebih awal.
Jumaat lalu, seramai 30 ahli Parlimen BN turut menemui Anwar antaranya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagi mendapatkan penjelasan isu yang sama. – MalaysiaGazette
















