Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli belum membuat keputusan sama ada akan hadir atau tidak pertemuan dengan Perdana Menteri bersama Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) hari ini.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan sudah menjangkakan penjelasan dan hujah yang akan diberikan oleh Presiden PKR itu mengenai isu campur tangan dalam pelantikan hakim dan keputusan kes mahkamah kerana sudah pernah mendengarnya tujuh bulan yang lalu.

“Nanti saya semak (sama ada mahu pergi atau tidak esok) saya tengok dulu peguam berjalan (berarak) cuma ia agak beza kerana dalam kalangan ahli Parlimen PKR, saya sudah mendengar penjelasan PM ini sudah enam hingga tujuh bulan lalu. jadi saya tahu apa dia akan sebut, latar belakangnya, hujah-hujah PM apa ahli Parlimen lain belum lagi.

“Saya akan putuskan kemudian sama ada saya mahu dengar lagi penjelasan yang saya sebenarnya sudah sedia maklum sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Forum Awam: Integriti Kehakiman di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) malam tadi.

Mengulas ada desakan untuk tindakan disiplin terhadapnya dan lapan ahli Parlimen tersebut, Rafizi berkata, beliau menghormati hak 19 Ketua Cabang PKR terbabit.

Bagaimanapun, katanya, ia perlu melalui proses dan perlembagaan parti.

Selain menjadi ahli PKR beliau juga mempunyai tanggungjawab sebagai ahli Parlimen, mereka juga berhak menyuarakan isu melibatkan negara.

Tambahan pula Rafizi berkata, PKR merupakan parti yang dikenali sentiasa terbuka terhadap pelbagai pandangan dan kritikan.

“Itu hak mereka, parti ada proses dan perlembagaan, prosesnya perlu ada orang buat laporan kepada Lembaga Disiplin kemudian ia melalui proses dan akhirnya keputusan itu adalah keputusan Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

“Kalau kami sebagai ahli Parlimen, ada dua tanggungjawab sebagai anggota parti saya rasa sumbangan kami yang lama ini lagi banyak daripada ketua-ketua cabang yang baru masuk enam bulankan.

“Tapi kami juga ada tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen, bila ada isu-isu besar yang perlu kami suarakan, kami lakukan. Cuma nasihat saya kepada ketua-ketua cabang yang ghairah nak buat petisyen dan sebagainya berhati-hati kerana PKR ini parti reformasi,” ujarnya.

Terdahulu, sebanyak 19 ketua cabang PKR Johor menyeru supaya parti menggantung Rafizi dan lapan Ahli Parlimen yang mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) mengenai pelantikan hakim dan dakwaan campur tangan dalam institusi kehakiman.

Ia susulan siding media dibuat oleh kumpulan ahli Parlimen yang diketuai Rafizi yang turut menggesa satu sesi pendengaran oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen diadakan susulan kelewatan dalam pelantikan jawatan kehakiman tertinggi termasuk ketua hakim negara, yang menurut mereka telah mencetuskan krisis Perlembagaan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast