Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil ditemui media selepas selesai Pertemuan Perdana Menteri bersama Ahli Parlimen PH di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 14 JULAI 2025

PUTRAJAYA – Kehadiran ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli tidak dapat disahkan pada pertemuan ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) barsama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim petang ini.

Ahli Parlimen Pantai Dalam, Datuk Fahmi Fadzil berkata, beliau tidak memiliki senarai kehadiran ahli Parlimen yang hadir kerana duduk di bahagian belakang ketika pertemuan itu.

Namun beliau yang Menteri Komunikasi mengakui ramai ahli Parlimen PH yang hadir pada pertemuan tersebut.

“Saya tiada senarai (kehadiran). Saya duduk di belakang tetapi ramai ahli Parlimen PH yang datang,” katanya ketika ditemui media selepas pertemuan yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana di sini hari ini.

Jumaat lalu, Anwar Ibrahim berkata, beliau bertemu dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menjelaskan beberapa isu semasa.

Beliau berkata antara perkara yang diterangkan termasuk mengenai cukai, khabar angin tentang subsidi petrol RON95 dan isu badan kehakiman.

Ditanya tentang hasil pertemuan itu, Fahmi memberitahu semua ahli Parlimen PH menerima baik penjelasan perdana menteri.

Beliau turut mengesahkan kehadiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bagi menerangkan lebih terperinci Perkara 125 dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita bincang tentang isu semasa dan penjelasan yang diberikan perdana menteri sangat baik dan diterima baik ahli Parlimen dan kita lihat perkara-perkara yang berbangkit

“(Badan kehakiman) juga diterima baik oleh ahli Parlimen PH dan Datuk Seri Azalina turut hadir memberi penjelasan perkara Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 125 berkenan pembentukan tribunal, antara hakim” katanya.

Sebelum ini, sebanyak 19 ketua cabang PKR Johor menyeru supaya parti menggantung Rafizi bersama lapan Ahli Parlimen yang mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) mengenai pelantikan hakim dan dakwaan campur tangan dalam institusi kehakiman.

la susulan sidang media dibuat oleh kumpulan ahli Parlimen yang diketuai Rafizi yang turut menggesa satu sesi pendengaran oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen diadakan susulan kelewatan dalam pelantikan jawatan kehakiman tertinggi termasuk ketua hakim negara, yang menurut mereka telah mencetuskan krisis Perlembagaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast