GEORGE TOWN – Dua lelaki dipercayai anggota sindiket ah long diberkas polis selepas disyaki terlibat dalam kejadian khianat dengan api yang mengakibatkan kebakaran tiga buah rumah teres dua tingkat serta lapan buah kenderaan di sini bulan lalu.
Kedua-dua suspek warga tempatan berusia lingkungan 20-an itu ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar negeri ini pada 3 Julai lalu oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pulau Pinang.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, penahanan dibuat susulan laporan kes simbahan cat ke atas sebuah rumah di Tanjung Tokong pada 30 Jun sebelum siasatan membawa kepada pendedahan penglibatan suspek dalam kes kebakaran di Tasek Gelugor.
“Kebakaran pada 24 Jun di Tasek Gelugor itu menyebabkan kemusnahan sepenuhnya ke atas tiga rumah serta kerosakan lima kereta dan empat motosikal.
“Jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM300,000.
“Hasil soal siasat mendapati suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut selain lima lagi kes simbahan cat yang sedang disiasat oleh JSJK Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Turut dirampas dalam operasi itu ialah sebuah motosikal Yamaha Y16Z, sepasang sport rim, sebuah topi keledar, pakaian milik suspek, sebuah telefon bimbit dan sebuah beg silang.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette















