Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz bercakap pada sidang media Laporan Prestasi Suku Kedua 2025 di Menara MITI, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 15 JULAI 2025

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) masih belum menemui sebarang bukti penyeludupan perdagangan haram dalam semikonduktor maju ke negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, pihak berkuasa sedang mendapatkan bantuan daripada Amerika Syarikat (AS) dalam siasatannya terhadap dakwaan penyeludupan cip kecerdasan buatan (AI).

“Siasatan bertujuan mencegah penyalahgunaan teknologi dan memastikan Malaysia kekal mematuhi piawaian dan kewajipan antarabangsa.

“Kami mahu menghalang penyalahgunaan teknologi yang berbeza dan sensitif seperti cip AI dan yang paling penting untuk industri dan ekonomi kami, kami mahu mengelakkan sekatan sekunder,” katanya katanya pada sidang media laporan prestasi suku kedua 2025 oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), di sini, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan memandang serius dakwaan bahawa negara ini dijadikan transit dalam penyeludupan cip AI Nvidia ke China.

Tengku Zafrul berkata, Malaysia juga tidak mahu perbuatan pihak menyalahgunakan kelebihan negara ini sebagai hab semikonduktor dan logistik serantau bagi aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Semalam, MITI mengeluarkan arahan yang mewajibkan semua aktiviti eksport, penghantaran semula dan transit cip AI berprestasi tinggi yang berasal dari AS dan berada di Malaysia mendapatkan Permit Perdagangan Strategik (STP). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast