Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau sudah menghadap Majlis Raja-Raja bagi membincangkan mengenai pelantikan ketua hakim negara, hari ini.

Beliau berkata, keputusan mengenai ketua hakim negara itu akan diumumkan Majlis Raja-Raja dalam masa terdekat.

“Semua sudah jawab tadi, sabar, pengumuman akan datang. Pagi ini saya telah mengadakan perbincangan prospektif dengan Majlis Raja-raja, dan saya rasa saya boleh membuat keputusan.

“Mudah-mudahan esok akan ada pengumuman yang jelas akan menghapuskan apa yang dipanggil persepsi negatif,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Tadbir Urus dan Integriti Malaysia 2025 di sini, hari ini.

Anwar Ibrahim bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar bergambar bersama peserta-peserta yang hadir ke Persidangan Antarabangsa mengenai Tadbir Urus dan Integriti Malaysia 2025 di Bora Ombak Marina, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 15 JULAI 2025

Perdana Menteri juga memberitahu, beliau tidak pernah membincangkan secara terperinci mengenai pelantikan ketua hakim negara baharu sejak menerajui negara lebih 30 bulan lalu.

“Saya memberi jaminan bahawa sekarang saya lebih daripada dua setengah tahun memegang jawatan, saya tidak membincangkan secara mendalam satu kes, bukan dengan hakim, bukan dengan sesiapa pun. Saya di sini bukan untuk melupuskan kebebasan kehakiman.

“Kebimbangan mereka kerana kelewatan pelantikan dan kedua kerana pengecualian beberapa pelantikan ke jawatan penting dalam badan kehakiman mungkin agak terjejas. Saya memberi jaminan, ini tidak berlaku.

“Saya pasti rakan-rakan dalam kalangan pengamal undang-undang menghormati hakikat kita mesti bekerja berdasarkan undang-undang dan fakta, bukan persepsi, dan menyerahkan isu persepsi kepada ahli politik, kerana hanya kita boleh meneruskan pemerintahan,” katanya.

Kata Perdana Menteri lagi, apabila pengumuman mengenai pelantikan ketua hakim negara dibuat dan ditetapkan kelak, ia akan membuktikan Kerajaan Madani komited untuk melakukan reformasi termasuk prinsip kebebasan kehakiman.

“Membanteras rasuah bukan semata-mata keharusan moral, tetapi pemacu kepada pembangunan ekonomi yang mantap, inklusif dan mampan.

“Rasuah dalam semua bentuknya berbahaya menimbulkan ancaman langsung kepada kemajuan ekonomi dan keharmonian negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast