KUALA LUMPUR – Seorang pekerja warga Bangladesh maut selepas dihempap runtuhan rak penyimpanan barang di sebuah kilang sarung tangan di Jalan Kawasan Perindustrian Olak Lempit, Kuala Langat, hari ini.
Mangsa lelaki warga asing dikenali Rahman, 33, berjaya dikeluarkan dari timbunan barang oleh pasukan penyelamat dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM).
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sekitar jam 10.45 pagi.
“Setibanya anggota di lokasi mendapati, enam pekerja warga asing telah terperangkap selepas rak penyimpanan setinggi 17 tingkat runtuh dan menghempap mereka.
“Bagaimanapun, lima mangsa berusia lingkungan 20 hingga 30-an berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba, manakala seorang lagi masih belum ditemui ketika itu.
“Berikutan itu, operasi dan menyelamat terus dijalankan sebelum mangsa terakhir ditemukan tertimbus di bawah timbunan barang-barang pada jam 11.20 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, sembilan pegawai dan anggota bersama sebuah unit FRT dan jentera perkhidmatan perubatan kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
Bagaimanapun, kes telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette















