KUALA LUMPUR – Malaysia bakal memuktamadkan perolehan dua buah kapal sokongan pelbagai peranan (MRSS) dan tiga buah kapal misi pesisir (LMS) Kumpulan Ketiga dari Itali dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) yang akan bermula tahun hadapan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, semua keputusan berkaitan perolehan aset pertahanan utama hanya akan dimuktamadkan selepas kerajaan membentangkan RMK-13 pada 31 Julai ini.
“Semua perolehan-perolehan baharu itu akan ada kepastiannya selepas kerajaan membentangkan RMK-13.
“Kita kena tunggu 31 Julai ini untuk tahu apa yang kerajaan setuju berdasarkan permohonan yang kita dah kemukakan.
“Ini melibatkan aset-aset yang amat penting untuk proses membina angkatan masa hadapan yang selari dengan pemodenan ketenteraan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Inisiatif Pendidikan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) 2025, di sini, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Itali telah memenangi dua tender Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melalui rundingan terus antara kerajaan (G2G) tanpa penglibatan orang tengah.
Pengumuman tersebut dibuat susulan lawatan rasmi beliau ke Itali, baru-baru ini.
Melalui perjanjian itu, Malaysia akan memperoleh dua buah MRSS jenis Kalaat Beni Abbas dan tiga buah LMS Kumpulan Ketiga jenis FCX20, kedua-duanya dibangunkan oleh syarikat pertahanan Itali, Fincantieri.
Menerusi pendekatan G2G ini, harga pembelian diperoleh pada kadar yang lebih rendah berbanding pasaran terbuka.
“Mereka bersedia beri kemudahan kewangan supaya kekangan kewangan tidak menghalang kita daripada melakukan pemodenan aset-aset tertentu.
“Yang penting dalam mana-mana perjanjian perolehan antara kerajaan dengan kerajaan ialah harga yang ditawarkan adalah lebih baik.
“Kalau dibuat secara tender terbuka pun, belum tentu negara lain boleh tawarkan harga yang kompetitif,” ujar Mohamed Khaled.
Beliau turut memaklumkan bahawa perolehan aset itu membabitkan kerjasama lebih luas dalam bidang latihan ketenteraan, keselamatan dasar laut, serta pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) antara Malaysia dan Itali.
Sementara itu, projek pemodenan TLDM merangkumi kesinambungan pembinaan kapal frigat kelas Maharaja Lela di bawah program Littoral Combat Ship (LCS), yang sebelum ini tertangguh dan kini sedang giat disiapkan. – MalaysiaGazette
















