Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyerahkan sumbangan peranti Program e-Perkasa SPM 2025 kepada penerima selepas merasmikan Majlis Peluncuran Inisiatif Pendidikan Yayasan LTAT 2025 ketika di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 15 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan memberi tumpuan serius terhadap aspek kesejahteraan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui pelbagai inisiatif pendidikan untuk anak-anak mereka termasuk program tuisyen percuma dan pemberian peranti pembelajaran.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pendekatan itu merupakan tanda penghargaan terhadap sumbangan dan pengorbanan anggota tentera dalam mempertahankan kedaulatan negara.

“Salah satu fokus kementerian yang sangat penting ialah soal kesejahteraan anggota angkatan tentera kita. Berasaskan kepada pengorbanan dan sumbangan mereka maka wajar kita beri perhatian sebagai satu penghargaan.

“Kita menggembleng segala kekuatan untuk menjayakan perancangan ini, dan antara pihak yang memainkan peranan penting ialah Yayasan LTAT,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Inisiatif Pendidikan Yayasan LTAT 2025 di sini hari ini.

Antara program utama yang diperkenalkan termasuk tuisyen percuma secara dalam talian untuk anak-anak anggota ATM yang bakal menduduki peperiksaan penting seperti SPM.

“Tuisyen kali ini merupakan kali kedua kita laksanakan. Kali pertama dilancar Oktober tahun lalu dan kali ini kita buat lebih awal. Tahun lepas kita beri Chromebook, tahun ini kita beri Notebook,” jelas Mohamed Khaled.

Menurutnya, jumlah penyertaan pelajar dalam program tuisyen bergantung kepada bilangan anak-anak anggota ATM yang akan menduduki peperiksaan.

Selain itu, program pendidikan lain yang dilancarkan termasuk i-Pekasa Sentuhan Elite, program STEM bersama universiti dalam kem-kem tentera, serta program kemahiran Kem Keusahawanan Tentera (K2T).

“Program STEM akan melibatkan universiti masuk ke sekolah-sekolah dalam kem untuk membudayakan STEM.

“Untuk K2T pula, tiada sebarang bayaran dikenakan kepada anggota. Jika ada bakat atau minat untuk menyertai program tertentu, semua kos ditanggung oleh yayasan,” tambah beliau.

Mohamed Khaled menegaskan bahawa semua program ini terbuka kepada seluruh warga ATM, tanpa mengira pangkat atau perbezaan antara pegawai dan anggota.

Yayasan LTAT dilihat sebagai antara pemain utama dalam membantu kementerian menjayakan agenda kesejahteraan pendidikan buat warga ATM dan keluarga mereka, sejajar dengan usaha memupuk modal insan dalam kalangan komuniti pertahanan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast