PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan menetapkan 26 Ogos ini bagi mendengar penghujahan sama ada ketiadaan nota keterangan akan memberi kesan kepada sabitan dan hukuman penjara seumur hidup terhadap lima lelaki kerana menculik seorang pengurup wang sembilan tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Azman Abdullah akan mempertimbang persoalan sama ada ketiadaan nota keterangan pada prosiding rayuan hari ini akan memprejudiskan rayuan kelima-lima individu berkenaan.
Sehubungan itu, panel berkenaan mengarahkan pihak-pihak membuat penyelidikan dan mengemukakan nas undang-undang sama ada sabitan dan hukuman terhadap perayu-perayu boleh dipertahankan walaupun tanpa nota keterangan.
Turut bersidang, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin.
Terdahulu peguam Hisham Nazir yang mewakili tiga daripada lima perayu berhujah, ketiadaan nota keterangan Mahkamah Tinggi menyebabkan timbul kelompongan dalam prosiding rayuan di hadapan panel berkenaan.
Hujah beliau, wujud ketidakpastian sama ada Mahkamah Rayuan boleh memberi pandangan atau penilaian maksimum terhadap rayuan kerana tidak diketahui sama ada nota itu memihak kepada pendakwaan atau pembelaan.
“Jika nota keterangan itu memihak pada kami, maka ia akan memprejudiskan anak guam yang telah ditahan selama sembilan tahun.
“Kami menyedari masalah ini (ketiadaan nota keterangan) dan kami cuba menyelesaikannya dengan menghantar representasi agar pertuduhan dipinda kepada Seksyen 365 Kanun Keseksaan, namun ditolak,” ujarnya.
Seksyen 365 Kanun Keseksaan melibatkan pertuduhan mengurung seseorang secara rahsia dan salah yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan juga boleh didenda jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Atiqah Karim turut memaklumkan, nota keterangan mangsa serta dua saksi lain tiada dalam rekod rayuan mahupun di Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan.
Nota itu berkaitan pemeriksaan semula mangsa, isterinya serta orang awam yang didakwa melihat kejadian itu.
Mahkamah sedang mendengar rayuan kelima-lima lelaki berkenaan terhadap hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan kerana menculik seorang pengurup wang bagi mendapatkan wang tebusan sebanyak RM3 juta di Pulau Pinang.
Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas mendapati kelima-lima tertuduh iaitu T. Shasitaran, 41; M. Ashokan, 42; Mohd. Sultan Ahmad Kabir, 46; Ong San Chia, 40, dan Yeoh Shyh Ming, 36, bersalah atas pertuduhan tersebut.
Mahkamah memerintahkan setiap tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 2 dan 3 Oktober 2016.
Kesemua mereka dihantar ke Penjara Pulau Pinang.
Mengikut pertuduhan mereka dituduh melarikan secara salah dan menahan seorang pengurup wang berumur 66 tahun bagi mendapatkan wang tebusan sebanyak RM3 juta.
Kesalahan itu dilakukan di tepi Jalan Rumbia berdekatan Kristal Garden, Bayan Lepas, kira-kira 10.30 pagi, 28 September 2016 yang didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau sebatan. – MalaysiaGazette
















