KUALA LUMPUR – Satu inisiatif di peringkat serantau berkaitan kaedah penjagaan pesakit kanser serviks yang dikenali sebagai Projek ACTIVE 2.0 dilancarkan di negara ini, baru-baru ini.
Melibatkan enam negara di Asia Tenggara, Projek ACTIVE 2.0 itu dilaksanakan dengan tujuan menambah baik usaha rawatan dan menyokong proses pemulihan pesakit kanser serviks di serata Asia Tenggara.
Sebagai satu-satunya institusi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang dipilih untuk menyertai program ACTIVE 2.0 itu, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM) akan terus meningkatkan usaha terutamanya dalam bidang penyelidikan, latihan dan inovasi.
Dalam satu kenyataan, USM berkata, sebagai sebahagian daripada inisiatif itu, IPPT USM menawarkan khidmat dua pakar onkologi dan seorang ahli fizik perubatan, di samping infrastruktur terkini sedia ada sesuai dengan peranannya sebagai pusat latihan bagi khidmat ‘brachytherapy’.
Menurutnya, inisiatif yang diketuai Dr. Jasmin Jalil itu juga akan meletakkan IPPT sebagai satu-satunya institusi di bawah KPT yang terlibat, yang juga merupakan satu dari 17 pusat latihan di Asia Tenggara yang berfungsi sebagai pusat latihan yang menumpukan kepada rawatan ‘brachytherapy’ lanjutan bagi kanser serviks.
Jelasnya, inisiatif selama tiga tahun itu akan memberi tumpuan kepada pengukuhan sistem penjagaan kesihatan melalui latihan klinikal, peningkatan infrastruktur dan inovasi digitalisasi, dengan matlamat untuk melebarkan akses terhadap penjagaan khusus berkualiti tinggi bagi pesakit kanser serviks dan keluarga mereka.
Sementara itu, Pengarah Projek ACTIVE 2.0, Paul Lee dalam kenyataan sama berkata, walaupun kaedah radiasi moden telah meningkatkan hasil rawatan dengan ketara, masih ada jurang dari segi akses kepada rawatan terkini dan kepakaran terlatih.
“ACTIVE 2.0 berusaha merapatkan jurang ini melalui latihan perubatan lanjutan, penambahbaikan infrastruktur dan inovasi tertumpu dalam penjagaan pesakit kanser.
“ACTIVE 2.0 adalah satu langkah penting dalam mempertingkatkan akses kepada penjagaan lanjutan di seluruh Asia Tenggara, termasuk Malaysia,” katanya.
Tambah beliau, melalui projek itu, Malaysia akan meningkatkan bilangan pakar klinikal terlatih dalam bidang rawatan lanjutan kanser serviks, meningkatkan keupayaan hospital tempatan dan akan lebih mampu memberikan sokongan kepada para pesakit dalam tempoh pemulihan mereka.
“Matlamatnya adalah untuk memberi harapan kepada semua pihak yang terpaksa berhadapan dengan kanser serviks,” katanya.
ACTIVE 2.0 akan bekerjasama dengan pusat rawatan onkologi ternama di Semenanjung Malaysia dan juga di Sabah dan Sarawak, untuk membangunkan jaringan empat Pusat Kecemerlangan (CoE) bagi rawatan kanser serviks.
Kesemua pusat itu akan menerima peralatan latihan radioterapi terkini dari projek tersebut, di samping peningkatan infrastruktur bagi menyokong proses pemulihan jangka panjang para pesakit. – MalaysiaGazette
















