Timbalan Menteri Sumber Manusia Malaysia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (tengah) pada majlis Persidangan Pasaran Latihan ASEAN (ASEAN Training Market Conference - ATMC) 2025 di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia Malaysia (KESUMA) bersama agensinya, Human Resource Development Corporation (HRD Corp) telah menganjurkan Persidangan Pasaran Latihan ASEAN (ASEAN Training Market Conference – ATMC) 2025 di Kuala Lumpur pada hari ini.

Persidangan itu mengukuhkan komitmen bersama ASEAN untuk melengkap tenaga kerja rantau ini dengan kemahiran masa hadapan seiring transformasi ekonomi yang pesat.

Bertempat di Hotel Berjaya Times Square, ATMC menghimpunkan lebih 600 peserta termasuk penyedia latihan terkemuka dari dalam dan luar negara, majikan, penggubal dasar serta wakil organisasi perniagaan dari seluruh ASEAN.

Persidangan itu merupakan salah satu daripada tujuh inisiatif berimpak tinggi di bawah Tahun Kemahiran ASEAN (ASEAN Year of Skills – AYOS) 2025, yang dianjurkan sempena Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Malaysia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad yang merasmikan acara berkenaan menegaskan, usaha memperkukuh ekosistem penyedia latihan dan tenaga pengajar amat penting untuk menjamin daya saing ASEAN pada masa hadapan.

“Di seluruh ASEAN, kita sedang menyaksikan kuasa gangguan daripada automasi, kecerdasan buatan, ekonomi digital dan peralihan hijau. Semua ini sedang mengubah industri, menggugat peranan pekerjaan sedia ada dan mentakrif semula kemahiran yang perlu dimiliki rakyat kita untuk terus maju.

“Untuk mentransformasikan ekonomi, kita mesti mengubah cara kita melatih bakat. Malaysia berbangga untuk menerajui agenda ini di bawah Kepengerusian ASEAN, bagi memastikan sistem latihan kita kekal relevan kepada industri, inklusif dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dengan tema “Memperkasa Pembekalan Latihan ASEAN: Merapatkan Jurang Kemahiran, Inovasi dan Kerjasama untuk Ekonomi Masa Hadapan”, ATMC memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekosistem latihan serantau bagi memenuhi keperluan baharu yang muncul.

Turut hadir di ATMC ialah Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman Yusoff, Ketua Pegawai Strategi merangkap Pengerusi AYOS 2025, Dr. Rony Ambrose Gobilee dan Ketua Pegawai Program HRD Corp, Soffian Mohammed Amin.

Antara perbincangan utama ialah meningkatkan kualiti dan kapasiti penyedia latihan, menangani ketidakpadanan kemahiran, meluaskan akses kepada peluang pembelajaran serta mengetengahkan inovasi dalam penyampaian latihan dan pendidikan.

Persidangan yang sama turut menekankan pentingnya menangani isu kesaksamaan dalam pembangunan kemahiran serta mendorong pelaburan sektor swasta yang lebih besar untuk memastikan tenaga kerja ASEAN bersedia menghadapi masa depan.

Antara tokoh serantau terkemuka yang berkongsi pandangan mereka ialah  Pakar Strategi Pembelajaran dan Pembangunan untuk Tenaga Kerja Berasaskan AI, Dr. Markus Bernhardt, Ketua Program Universiti dan Tanggungjawab Sosial Korporat IBM Asia Pasifik, Yue Yean Feng serta Pakar Kemahiran dan Kebolehkerjaan dari Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Mary Kent.

Penglibatan mereka mencerminkan komitmen kukuh rantau ini terhadap pembangunan modal insan secara kolektif.

Sementara itu, Pengerusi HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid dalam ucapannya menyatakan ATMC bukan sahaja bertujuan memperkukuh pembekalan latihan di Malaysia tetapi juga untuk membina ekosistem serantau yang saling menyokong pertumbuhan ASEAN.

“Kami berasa bangga dapat menampilkan pelbagai inovasi serantau dan perkongsian rentas negara dalam program hari ini. Kerjasama dan jalinan yang terbentuk di sini akan memastikan tenaga kerja kita kekal berdaya saing, mudah menyesuaikan diri dan berdaya tahan dalam menghadapi perubahan global.

“Bersama-sama, kita mampu meningkatkan kualiti dan capaian pasaran latihan untuk memberi manfaat kepada rakyat dan ekonomi kita,” katanya.

Di bawah kepimpinan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, Malaysia terus menerajui agenda ASEAN ke arah pembentukan tenaga kerja yang lebih berkemahiran, mobil dan bersedia untuk masa hadapan.

Awal tahun ini, inisiatif Minggu Latihan Nasional (NTW) di bawah AYOS 2025 berjaya mencatat penyertaan luar biasa seramai 3.7 juta peserta dari seluruh rantau ASEAN mencerminkan minat dan penglibatan tinggi dalam pembangunan kemahiran.

Buat pertama kali, inisiatif ini dibuka kepada peserta dari negara ASEAN bagi tujuan penambahan dan peningkatan kemahiran melalui 73,000 kursus yang ditawarkan secara percuma sehingga hujung tahun.

Melangkah ke hadapan, KESUMA dan HRD Corp akan terus menggalakkan kerjasama serantau melalui beberapa acara utama akan datang seperti Persidangan TVET ASEAN, Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan 2025, Forum Kemahiran Global dan Forum Menteri-Menteri Tenaga Kerja ASEAN mengenai Pembangunan Modal Insan.

Kesemua inisiatif ini dirangka bagi menyelaraskan ekosistem kemahiran ASEAN dengan trend global dan keperluan ekonomi semasa.

KESUMA dan HRD Corp merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakan ASEAN, institusi latihan, majikan dan organisasi yang telah menyumbang kepada kejayaan ATMC 2025.

Bersama-sama, rantau ini sedang meletakkan asas untuk membina tenaga kerja ASEAN yang lebih kukuh, berdaya tahan dan bersedia merebut peluang dalam landskap global yang semakin kompleks.

Untuk maklumat lanjut mengenai AYOS 2025 dan program-program serantau yang akan datang, sila layari www.aseanyearofskills.org. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast