KUALA LUMPUR – Seramai 160 ketua UMNO bahagian mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil tanggungjawab penuh untuk melaksanakan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang dikeluarkan 4 Januari lalu.
Jurucakapnya, Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah berkata, Perdana Menteri perlu membenarkan Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman melalui tahanan dalam rumah.
“Datuk Seri Najib perlu menjalani baki hukuman melalui tahanan dalam rumah sebagaimana yang telah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16.
“Tiada sebarang alasan lagi untuk melengah-lengahkannya,” katanya pada sidang media selepas perjumpaan dengan 145 dari 160 ketua UMNO bahagian yang hadir di Hotel Royale Chulan, di sini, hari ini.
Shafie selaku Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju berkata, pihaknya cadangkan semua UMNO Bahagian di seluruh negara yang belum bersidang membawa usul khas mengenai isu Titah Adendum.
“Usul ini penting sebagai bukti kesepakatan dan solidariti parti dalam mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu serta menegakkan prinsip keadilan untuk semua,” katanya.
Selain itu, pihaknya turut mendesak Peguam Negara menarik balik permohonan rayuan ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bertarikh 6 Januari 2025.
“Sebagai penasihat undang-undang tertinggi kerajaan, Peguam Negara seharusnya menjunjung titah Raja dan mendokong keadilan, bukan menghalangnya,” katanya.
Menurut Shafie, semua ketua UMNO bahagian menegaskan perkara ini bukan hanya soal individu.
“Perkara ini adalah soal kedaulatan undang-undang, penghormatan kepada Institusi Diraja, dan prinsip keadilan yang wajib dipertahankan bersama,” katanya.
Ditanya jika Titah Adendum masih tidak dilaksanakan, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk melakukan tindakan nekad dan lebih agresif.
“We cross the bridge when we come to it,” katanya.
Sementara itu, Shafie memberitahu perjumpaan Ketua-Ketua UMNO Bahagian pada malam ini diadakan atas inisiatif bersama mereka.
“Pertemuan ini diadakan sebagai respon kepada kenyataan media Setiausaha Agung UMNO bertarikh 11 Julai 2025 mengenai isu Titah Addendum Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16.
“Rakyat telah pun maklum pada 4 Januari 2025, Istana Pahang secara rasmi memperakukan melalui surat bahawa Titah Adendum tersebut benar-benar wujud dan sahih,” katanya.
Malah katanya, Mahkamah Rayuan Putrajaya yang bersidang pada 6 Januari lalu turut memutuskan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 adalah wujud dan mempunyai asas perundangan.
“Fakta ini jelas menunjukkan Peguam Negara dengan sengaja menyorokkan titah tersebut lebih dari setahun, tindakan yang amat mendukacitakan seluruh ahli parti dan rakyat Malaysia yang menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan,” katanya.
Katanya lagi, tindakan menyorok itu jelas melanggar prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pentadbiran undang-undang negara.
“Lebih malang lagi, tindakan ini mencemar budi bicara Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 serta Raja-Raja Melayu secara keseluruhan.
“Ia juga secara langsung telah menafikan keadilan yang sewajarnya diterima oleh Datuk Seri Mohd Najib,” katanya. – MalaysiaGazette
















