Hande Firat wartawan yang terpaksa memilih untuk berpihak kepada keamanan.

ANKARA – Etika kewartawanan tidak boleh berpihak kepada mana-mana kumpulan yang bertelingkah namun ada masanya mereka terpaksa membuat pilihan demi keamanan orang awam dan negara.

Itulah yang dilakukan wartawan kelahiran Turkiye Hande Firat pada malam 15 Julai 2016 apabila Pertubuhan Pengganas Fetullahist (FETO) melakukan cubaan rampasan kuasa untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Presiden Recep Tayyip Erdoğan.

“Namun, ada beberapa point di mana mereka berpihak. Mereka berpihak kepada keamanan nasional dan negara tempat mereka tinggal, perbatasan, tanah air, dan bangsa mereka.

“Ini kerana wartawan adalah seorang ibu, seorang anak, seorang bapa, seorang warganegara, dan yang terpenting, seorang manusia. Kita tidak boleh melupakan ini,” katanya dalam forum 15 Julai: Memori, Keadilan dan Masa Depan.

Forum itu berlangsung di bangunan Directorate of Communications yang juga merupakan pengajur dan turut dihadiri lebih 200 wartawan termasuk 150 pengamal media daripada 41 negara.

Forum 15 Julai: Memori, Keadilan dan Masa Depan yang mengingati cubaan menjatuhkan kerajaan demokrasi di Turkiye.

Hande adalah antara individu yang memainkan peranan penting mengagalkan cubaan gerombolan 10,000 ribu tentera untuk menjatuhkan pemerintahan demokrasi Erdogan melalui senjata.

Walaupun sudah sembilan tahun berlalu wanita itu masih ingat malam 15 Julai 2016 dia berjaya menghubungi Erdogan melalui Facetime dan kemudian menyampaikan pesanan itu melalui siaran televisyen dan media sosial.

Pada saat itu bertebaran berita palsu di media sosial kononya presiden yang dipilih pada 2014 itu telah menghilangkan diri, tidak dapat dikesan dan meninggal dunia.

“Saya adalah seorang wartawan. Saya juga menghubungi Presiden dalam sidang media. Dan secara berkala, sehingga saat itu, kami sudah mendapatkan informasi daripada Presiden Erdogan dan dari Hasan Dogan, setiausaha khas di sisinya, dan kemudian kami muncul di skrin (televisyen) untuk menjelaskannya.

“Presiden ada di sana dan menyampaikan keyakinan dan kepercayaannya pada demokrasi kepada anda melalui kami (wartawan),” katanya.

Pesanan Erdogan itu kemudian tular dan menyaksikan berpuluh ribu rakyat Turkiye dengan hanya bersenjatakan tangan kosong turun ke jalan raya menghalang kemaraan tentera selepas mendengar pesanan daripada Erdogan.

Peristiwa itu menjadi sejarah apabila rampasan kuasa yang menggunakan aset tentera berjaya dipatahkan oleh rakyat biasa dan wartawan yang tidak mahu diperintah secara kuku besi sekali gus membunuh demokrasi.

Sebelum menamatkan forum, Hande sempat berpesan kepada audien supaya mendapatkan maklumat daripada wartawan sebenar dan tidak mempercayai bulat-bulat apa yang disebarkan di media sosial.

“Dan tolong, bacalah berita dari wartawan sejati, bukan troll dan palsu, agar kami dapat bertahan, dan kemudian, insya-Allah, dalam senario terburuk sekali pun, kami akan tetap berada di tempat kerja kami,” katanya.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast