Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyaksikan Sesi Menandatangani Surat Niat antara Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), yang diwakili Naib Canselor UPNM, Datuk Arman Rumaizi Ahmad (kiri), dan Majlis Sukan Negara, yang diwakili Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Jefri Ngadirin (kanan), pada Program Rakan Muda Turun Kampus, di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 JULAI 2025

KUALA LUMPUR – Majlis Sukan Negara (MSN) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bakal menjalinkan kerjasama menerusi kolaborasi strategik dalam pembangunan program akademik berasaskan pembelajaran berasaskan kerja atau Work-Based Learning (WBL).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, ia untuk meningkatkan daya saing serta memperkukuh kebolehpasaran para atlet melalui pengiktirafan kemahiran, pengalaman dan kepakaran melalui pemetaan kerjaya kepada kurikulum akademik.

“Kerjasama ini juga akan menyediakan akses pendidikan tinggi kepada warga MSN, atlet serta jurulatih dengan pengalaman kerja yang relevan tanpa kelayakan akademik formal melalui laluan APEL atau Akreditasi Pengalaman Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu.

“Selain itu, ia juga juga menawarkan peluang kemasukan kepada program-program yang ditawarkan di UPNM kepada atlet dan jurulatih melalui saluran komersial dan bidang atau skop lain yang akan dipersetujui oleh pihaknya,” katanya.

Beliua berkata demikian selepas menyaksikan Sesi Menandatangani Surat Niat (LOI) bagi Tujuan Kolaborasi Strategik antara MSN dan UPNM di universiti tersebut, di sini, hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berucap pada Program Rakan Muda Turun Kampus, di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 JULAI 2025

Majlis itu diadakan sempena Program Rakan Muda Turun Kampus siri keenam bagi tahun 2025 yang merupakan program khusus yang membolehkan penuntut Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) menyampaikan aspirasi, pandangan dan idea tentang pembangunan belia dan sukan secara terus kepada kepimpinan tertinggi Kementerian Belia dan Sukan.

Mengulas lanjut, Hannah menambah, sebanyak 10 Program Rakan Muda Turun Kampus akan diadakan sepanjang tahun ini di mana  seramai 5,000 orang pelajar dijangka terlibat dalam program ini.

Katanya, program ini turut disemarakkan dengan aktiviti interaktif yang dikendalikan oleh Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dan disokong oleh stesen radio RAKITA.

“Pelaksanaan Program Rakan Muda Turun Kampus ini diharap dapat memperkukuh identiti dan perpaduan dalam kalangan pelajar IPT, membina jaringan kerjasama merentas institusi dan mendapatkan input secara langsung dalam usaha KBS merangka strategi pemerkasaan program belia,” katanya. – MalaysiaGazette

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh beramah mesra bersama pelajar pada Program Rakan Muda Turun Kampus, di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 JULAI 2025

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast