Peguam Sivahnanthan Ragava bersama salah seorang tertuduh, Tan Kah Soon yang dilepas bebas oleh Mahkamah Tinggi KL atas kesalahan mengedar dadah hampir dua kilogram.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepaskan dan membebaskan sepasang kekasih daripada pertuduhan mengedar dadah berbahaya selepas hakim memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Tertuduh, Tan Kah Soon dan Pattarathida Petcharanon yang sebelum ini ditangkap pada 9 November 2021 berdepan hukuman mati mandatori di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 berikutan penemuan sejumlah besar dadah di sebuah unit kondominium di sini.

Dalam keputusan yang dibacakan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy menyatakan terdapat kelemahan ketara dalam kes pendakwaan termasuk isu berkaitan rantaian simpanan (chain of custody) bahan bukti serta jurang masa yang tidak dijelaskan antara penemuan bahan dan penghantaran ke makmal untuk analisis.

“Bukti saintifik yang dikemukakan menimbulkan keraguan munasabah terhadap identiti dan kesahihan bahan berbahaya tersebut serta hubung kaitnya secara langsung dengan kedua-dua tertuduh.

“Dalam kes serius seperti ini beban pembuktian yang tinggi perlu dipenuhi oleh pihak pendakwaan, dan sebarang kegagalan dalam memelihara integriti bahan bukti tidak boleh dipandang ringan,” katanya hari ini.

Sepanjang perbicaraan, mahkamah diberitahu terdapat kelemahan kritikal dalam pengendalian bukti forensik termasuk jurang masa antara penemuan dan penghantaran sampel darah yang relevan.

Mahkamah turut mengambilkira kemungkinan pencemaran atau pertukaran bahan yang menimbulkan keraguan terhadap identiti sebenar dadah berkenaan dan kaitannya dengan kedua-dua tertuduh.

“Dalam kes melibatkan hukuman mati, beban pembuktian adalah sangat tinggi. Sebarang kegagalan dalam pematuhan prosedur tidak boleh dianggap remeh,” tegas Muniandy.

Peguam Sivahnanthan Ragava bersama salah seorang tertuduh, Tan Kah Soon yang dilepas bebas oleh Mahkamah Tinggi KL atas kesalahan mengedar dadah hampir dua kilogram.

Kah Soon dan Pattarathida (warga Thailand) diwakili oleh peguambela Sivahnanthan Ragava yang dalam penghujahannya sebelum ini menekankan kegagalan pendakwaan mengemukakan bukti yang kukuh serta teknikal yang sahih menjejaskan kredibiliti keseluruhan kes.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa mengedar 561.6 gram ketamin serta didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Selain ketamin, polis turut menemui dadah jenis methamphetamine dengan jumlah keseluruhan rampasan mencecah lebih 1.6 kilogram merangkumi 875 gram dan 354 gram methamphetamine serta 380 gram ketamin. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast