Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit

MELAKA – Seorang pengasuh wanita sebuah taska yang dikaitkan dengan kes kematian bayi lelaki berusia enam bulan dipercayai lemas dalam keadaan tertiarap dan badannya dibedung di atas tilam sudah ditahan polis, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, wanita bujang berusia 26 tahun itu ditahan sepasukan polis daripada Bahagian D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka kira-kira 12.10 tengah hari.

“Suspek ditahan di hadapan taska berkenaan di Padang Temu di sini pada jam 12.10 tengah hari tadi bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang menggariskan kesalahan membabitkan pengabaian, pendedahan, atau penganiayaan terhadap kanak-kanak.

“Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati wanita yang masih bujang itu negatif dadah dan akan di bawa untuk permohonan reman di Mahkamah Majistret Melaka di Ayer Keroh, esok,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

MalaysiaGazette hari ini melaporkan kejadian tragis menimpa bayi berkenaan jam 5 petang semalam disedari pengasuh taska berkenaan selepas menidurkan bayi berkenaan sejam sebelum itu.

Menurut sumber, bagaimanapun ketika hendak memantau keadaan bayi pada jam 5 petang, pengasuh yang menjaganya secara bergilir dengan pengasuh lain mendapati bayi tersebut dalam keadaan tertiarap dan mukanya kebiru-biruan.

Hasil pemeriksaan ke atas badan bayi berkenaaan mendapati tiada sebarang kesan perbuatan jenayah sebelum pihak hospital membuat laporan polis. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast