KOTA BHARU – Polis Kelantan menyerbu satu pesta yang dianjurkan komuniti gay yang diadakan di sebuah banglo di Kemumin, Pengkalan Chepa, pertengahan Jun lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, serbuan dilakukan jam 1 pagi hasil maklumat orang awam.
Katanya, semasa intipan oleh pasukan khas, pesta gay tersebut dihadiri lebih 100 lelaki berusia 20an hingga 30an namun jumlahnya makin berkurangan selepas tengah malam.
Menurut beliau, ketika pasukan polis tiba di banglo tersebut hanya tinggal lebih kurang 20 lelaki sahaja dan mereka belum melakukan sebarang aktiviti persetubuhan namun sedang membuat persiapan ke arah itu.
Hasil pemeriksaan lanjut, pihaknya menemukan ratusan kondom serta ubat berkaitan HIV di dalam banglo berkenaan.
“Hasil soal siasat mendapati mereka mengaku merupakan sebahagian daripada komuniti gay dan menganjurkan majlis tersebut secara percuma dengan promosi dilakukan menerusi media sosial.
“Ada antara mereka yang mengaku menawarkan khidmat seks sesama lelaki dan juga menghidap HIV. Terdapat juga dalam kalangan mereka yang merupakan penjawat awam,” katanya semasa sidang media selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Menurut beliau, tiga individu didapati memiliki bahan lucah berunsur homoseksual dan disiasat di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
Beliau menegaskan bahawa Polis Kelantan memandang serius perkara ini dan akan terus memantau kegiatan kumpulan berkenaan. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Pesta Gay Di Kota Bharu, Kondom Ubat HIV & Video Lucah Ditemukan















