Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa melakukan gimik perasmian Program Kepimpinan, Perubahan Iklim dan Tenaga Hijau (IKLIM) peringkat WP 2025 di SMK Cochrane, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 JULAI 2025

KUALA LUMPUR – Sesi libat urus antara peniaga yang terlibat dalam projek naik taraf infrastruktur di Desa Pandan di sini akan diteruskan dalam masa terdekat ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, sesi perbincangan sebelum ini diadakan sejak November tahun lalu melibatkan sembilan peniaga di kawasan berkenaan.

Justeru kata beliau, sesi libat urus akan datang akan memfokus kepada penempatan semula peniaga yang terkesan susulan kerja pelebaran jalan yang sedang dijalankan di kawasan tersebut.

“Bulan ini kita akan bertemu semula dengan mereka bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung penempatan semula. Projek ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Lestari Niaga yang sedang dilaksanakan di Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Peluncuran Projek Kepimpinan, Perubahan Iklim & Tenaga Hijau (IKLIM) Peringkat Wilayah Persekutuan 2025 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha memberitahu, hasil perbincangan sebelum ini terdapat peniaga yang bersetuju untuk berpindah namun ada juga yang memberi keputusan berbeza.

“Sebahagian telah bersetuju namun ada juga yang masih belum bersetuju. Oleh itu, sesi libat urus seterusnya penting untuk mencapai persetujuan bersama dan mempercepatkan pelaksanaan projek pelebaran jalan yang amat penting untuk kegunaan orang ramai,” ujarnya.

Dr Zaliha turut mengarahkan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar segera bertemu dengan para peniaga terlibat bagi menawarkan lokasi alternatif yang sesuai.

Semalam, DBKL berkata, proses pengosongan tapak perniagaan itu dilakukan secara telus dan teratur mengikut prosedur sedia ada selain sudah melalui beberapa proses termasuk sesi libat urus dan penyampaian maklumat rasmi kepada semua pihak terbabit, termasuk persatuan peniaga dan peniaga.

Ia berikutah rakaman video berdurasi 50 saat tular di media sosial, memaparkan seorang lelaki memegang parang mengamuk dan memaki hamun penguat kuasa DBKL sambil ditenangkan orang ramai yang berada di lokasi.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail dilaporkan berkata, pihaknya menahan seorang lelaki bersama sebilah parang panjang milik suspek di kawasan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast