Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa merasmikan Program Kepimpinan, Perubahan Iklim dan Tenaga Hijau (IKLIM) peringkat WP 2025 di SMK Cochrane, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 JULAI 2025

KUALA LUMPUR – Semua lapisan negara ini dijangka menerima kejutan yang memberi manfaat besar kepada mereka susulan pengumuman luar biasa kerajaan tidak lama lagi.

Bayangan itu diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa sambil berharap orang ramai menunggu pengumuman yang akan dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita tunggu pengumuman daripada PM nanti, saya kira memang ada satu kejutan yang memberi manfaat kepada rakyat. Insya-allah semuanya begitu (manfaat untuk semua rakyat),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan majlis pelancaran Projek Kepimpinan Perubahan Iklim dan Tenaga Hijau (IKLIM) Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Cochrane di sini hari ini.

Isnin lalu, Anwar memaklumkan beliau akan membuat satu pengumuman besar sebagai penghargaan luar biasa untuk rakyat Malaysia.

Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran di Facebook milik perdana menteri namun tidak dijelaskan secara terperinci dan hanya terdapat tanda pagar ‘Malaysia Madani’ dan ‘Bersama Malaysiaku’.

Sementara itu, Dr Zaliha mengalu-alukan penganjuran Projek IKLIM itu sebagai membuktikan pemimpin masa depan dalam isu perubahan iklim perlu dan sedang dibentuk hari ini.

Katanya, biar pun pelajar yang terlibat baru berada di Tingkatan 4 tetapi mereka mempunyai semangat yang setanding pemimpin dunia.

“Ini bukan soal memberi kesedaran semata-mata sebaliknya ini adalah soal mempercayai bahawa anak muda boleh dan mampu memimpin perubahan.

“Pelajar jangan anggap kehadiran ke program ini sebagai satu aktiviti tambahan sekolah. Ini adalah sebenarnya pentas permulaan dan ini juga adalah ruang latihan untuk menjadi suara yang boleh membawa mesej bumi di mana apa sahaja tindakan yang kamu ambil selepas ini boleh membawa kesan yang lebih besar daripada apa yang kita bayangkan.

“Maka, jangan sia-siakan peluang ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast