GEORGE TOWN – Dua lelaki tempatan yang ditahan polis disyaki terlibat dalam kes kebakaran membabitkan tiga buah rumah di Tasek Gelugor bulan lalu mengaku mereka diupah untuk melaksanakan perbuatan tersebut.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, setakat ini, hanya dua orang suspek telah dikenal pasti terlibat semasa kejadian tersebut.
“Namun selepas siasatan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) selesai, kami akan berusaha mengenal pasti dan mengesan Ahlong yang mengupah kedua-dua suspek tersebut,” katanya pada sidang media di IPK di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN:
Media pada Selasa lalu melaporkan, dua lelaki tempatan dalam lingkungan usia 20-an diberkas JSJK Pulau Pinang pada 3 Julai lalu dalam serbuan berasingan di sekitar negeri itu.
Penahanan itu susulan laporan kes simbahan cat ke atas sebuah rumah di Tanjung Tokong pada 30 Jun, yang kemudiannya membawa kepada pendedahan penglibatan mereka dalam kes kebakaran di Tasek Gelugor.
Dalam kejadian itu, tiga buah rumah teres dua tingkat musnah sepenuhnya manakala lima buah kereta dan empat motosikal turut rosak, melibatkan anggaran kerugian berjumlah RM300,000.
Hasil soal siasat mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kejadian berkenaan selain lima lagi kes simbahan cat yang masih dalam siasatan JSJK.
Dalam perkembangan berasingan, Mohd Alwi berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung insiden seorang lelaki terselamat selepas lima das tembakan dilepaskan ke arah pacuan empat roda yang dinaikinya di hadapan sebuah sekolah di Sungai Nyior, Butterworth pada 1 Julai lalu.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian serta individu yang terlibat,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Tembak depan sekolah: Mangsa ada 4 rekod jenayah, polis giat buru suspek
Polis pada 2 Julai lalu mengesahkan lelaki yang menjadi sasaran dalam insiden tembakan berhampiran sebuah sekolah di Jalan Sungai Nyior di sini, pada 1 Julai dikatakan mempunyai empat rekod jenayah lampau.
Dalam kejadian kira-kira 5.40 petang, lima das tembakan dilepaskan dua lelaki ke arah pacuan empat roda yang dipandu mangsa berusia 40-an itu.
Difahamkan mangsa yang merupakan ahli perniagaan itu turut didakwa pernah terlibat dengan kegiatan geng kongsi gelap. – MalaysiaGazette















