KUALA LUMPUR – Sebanyak empat keterangan berhubung kes membabitkan penyanyi Shila Amzah telah dirakam dan kertas siasatan telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Kuala Lumpur sebelum dirujuk ke Pejabat Peguam Negara (AGC) di Putrajaya.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Jan Usuf Mohamad berkata, siasatan kes ini dijalankan dengan teliti memandangkan ia melibatkan seorang figura awam.
“Laporan polis oleh Datuk Amy Search yang dibuat tiga hari lalu juga sedang disiasat secara selari dengan kes ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Menurutnya, siasatan tambahan sedang dijalankan dan beberapa lagi saksi termasuk pihak terlibat mungkin akan dipanggil semula sebelum keputusan dibuat oleh pihak pendakwaan.
Dalam perkembangan berasingan, Mohamed Jan turut memaklumkan bahawa pihaknya telah merakam sebanyak 48 keterangan di dalam dan luar negara bagi membantu siasatan kehilangan Datin Seri Pamela Ling.
Bagaimanapun, beliau berkata petunjuk dan fotofit yang diterima setakat ini masih belum membawa kepada sebarang perkembangan ketara.
“Siasatan diteruskan dan kita harap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses penyiasatan,” tambahnya. – MalaysiaGazette















