P. Ramasamy. Foto AFFAN FAUZI, 21 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Krisis berkaitan penjualan tanah kontroversi di Batu Kawan, Pulau Pinang melibatkan tokoh politik dan agensi kerajaan negeri akhirnya selesai apabila bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy menarik balik saman fitnah terhadap Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Susulan itu, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) turut mengambil langkah sama dengan menarik balik tindakan undang-undang terhadap Ramasamy dalam usaha menyelesaikan pertikaian secara damai luar mahkamah.

Langkah itu disahkan menerusi penghakiman persetujuan yang direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Helmi Ghani hari ini.

Ramasamy bersetuju menerima penjelasan berhubung proses kelulusan penjualan tanah yang dibuat menerusi mesyuarat PDC pada 2022 dan 2023 serta menarik balik segala kenyataan terhadap PDC yang sebelum ini disifatkan sebagai berbaur fitnah.

Beliau turut menyatakan rasa kesal atas penerbitan kenyataan itu.

Sebagai sebahagian daripada penyelesaian, semua pihak bersetuju menghentikan tindakan guaman tanpa kebebasan untuk memfailkan semula kes dan tiada arahan kos dikenakan oleh mahkamah.

Difahamkan, saman Ramasamy sebelum ini berkaitan kenyataan yang dimuat naik oleh Kon Yeow di Facebook rasmi Ketua Menteri Pulau Pinang pada 3 Oktober 2023 yang didakwa menjejaskan reputasinya sebagai pemimpin.

Untuk makluman, sebelum ini, penjualan tanah 226 hektar di Batu Kawan kepada Umech Land melalui tender rundingan terus menjadi kontroversi selepas timbul dakwaan ia dijual di bawah harga pasaran.

Tanah itu pada mulanya telah dijual PDC kepada Umech Land pada harga RM646 juta, namun susulan perubahan dalam pemilikan majoriti Umech Land, PDC membatalkan perjanjian usaha sama dan membuka penjualan tanah itu melalui tender terbuka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast